Pada 19 hingga 20 Jun 2025, pelajar Tahun 3 Program Bacelor Sains Perhutanan (kepujian), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah mengadakan lawatan akademik ke Lana Licensed Planted Forest, Bintulu. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada pengisian kursus FHM3304 Pengurusan Hutan Ladang, di bawah bimbingan pengajar kursus, Puan Jane Abi.
Rombongan disambut oleh Pengurus Ladang, En. Mukhammad Afwan bersama Pembantu Pengurus Ladang, En. Jetendra anak Empera. Sepanjang lawatan dua hari ini, para pelajar diberi pendedahan menyeluruh tentang operasi ladang hutan termasuk lawatan ke tapak semaian, kawasan penanaman, serta tapak penanaman semula di blok ladang.
Para pelajar turut berpeluang menjalani aktiviti praktikal lapangan seperti penyemaian, penjagaan serta pemilihan anak pokok, dan berpeluang untuk menamam sendiri pokok spesies Eucalyptus pellita di tapak blok penamanan baru ladang tersebut.
Lawatan ini turut mendedahkan pelajar kepada inisiatif penyelidikan dan pembangunan oleh pihak Samling, termasuk penggunaan teknologi kultur tisu sebagai alternatif kepada penggunaan biji benih konvensional dalam penanaman spesies terpilih.
Secara keseluruhannya, lawatan ini telah memberikan pengalaman bermakna dan memperkukuh kefahaman pelajar terhadap peranan penting ladang hutan dalam memastikan bekalan kayu yang mampan serta kelestarian sumber perhutanan negara.
Date of Input: 07/07/2025 |
Updated: 07/07/2025 | lanz
MEDIA SHARING