BINTULU, 20 JUN , Pelajar Kursus QKS 2312 Asas Renang (Kumpulan 101) telah berjaya menganjurkan Program From Theory To Water : Safe Swim yang berlangsung di Kolam Renang Awam Bintulu dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Program ini dilaksanakan untuk meningkatkan pengetahuan asas serta pengalaman pratikal berkaitan kemahiran renang dan keselamatan di air. Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan pelajar ketika berada di dalam air, malah memupuk kesedaran terhadap aspek keselamatan serta tindakan yang perlu diambil dalam situasi kecemasan. Secara tidak langsung, program ini turut menyumbang kepada pembentukan keperibadian diri dan pengukuhan kemahiran insaniah yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Program ini dimulakan dengan sesi perkongsian keselamatan air yang disampaikan oleh penceramah jemputan. Dalam sesi ini, peserta didedahkan kepada pengetahuan asas berkaitan keselamatan di dalam air, langkah pencegahan kemalangan serta tindakan yang perlu diambil ketika berhadapan dengan situasi kecemasan melalui simulasi.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi perkongsian keselamatan air yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai langkah-langkah keselamatan ketika berada dikawasan air, teknik pencegahan kemalangan serta tindakan yang perlu diambil semasa kecemasan. Program diteruskan dengan latihan keselamatan air yang membolehkan peserta mempraktikkan pengetahuan yang telah dipelajari dalam situasi yang lebih realistik.
Pada sebelah petang, peserta telah mengikuti sesi Aquatic Skills Challenge (Pool Session). Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran asas renang, meningkatkan keyakinan ketika berada di dalam air serta mengukuhkan pemahaman tentang aspek keselamatan air melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan.
Program ini turut mendapat sokongan dan kehadiran beberapa pegawai bomba, antaranya PBK II TBK 1 Gary Alrisen Anak Julin, En.Muhammad Hafiz bin Razali dan En.Mohamad Effendi bin Julaihi. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam memperkukuhkan usaha pencegahan serta meningkatkan kesedaran pelajar terhadap aspek keselamatan di air.
Melalui pelaksanaan program ini, para peserta bukan sahaja memperoleh ilmu dan kemahiran berkaitan keselamatan air dan renang, malah turut menghayati nilai kerjasama, kepimpinan dan tanggungjawab semasa menjalankan aktiviti secara berkumpulan. Program ini diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam melahirkan individu yang lebih peka terhadap aspek keselamatan air serta mampu mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
Date of Input: 22/06/2026 |
Updated: 22/06/2026 | lanz
MEDIA SHARING