BINTULU, 26 Oktober 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menerusi pelajar Kelas “Pengenalan Struktur Ladang” (EAB2201), Program Diploma Kejuruteraan Teknologi Pertanian Semester 1 (DKTP01) telah menyerahkan 12 buah kerusi simenfero kepada komuniti Kampung Jepak, Bintulu dan Kampung Hilir, Kuala Tatau sempena Program Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Nelayan Bintulu 2025.
Daripada jumlah tersebut, enam buah kerusi simenfero disumbangkan kepada komuniti Kampung Jepak, manakala enam buah lagi diserahkan kepada komuniti Kampung Hilir, Kuala Tatau bagi kegunaan bersama di kawasan awam.
Sumbangan ini dilaksanakan di bawah seliaan Ts. Gs. Dr. Wan Nor Zanariah bt. Zainol @ Abdullah dan En. Stephen Anak Banyan, sebagai sebahagian daripada komponen pembelajaran berasaskan projek (Project-Based Learning, PBL) dalam kursus “Pengenalan Struktur Ladang”. Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai reka bentuk, bahan binaan mampan serta aplikasi praktikal struktur ladang yang memberi manfaat langsung kepada komuniti.
Majlis penyerahan simbolik kerusi simenfero tersebut telah diadakan di Balai Raya Kampung Jepak dan disaksikan oleh YB Tuan Iskandar bin Turkee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, yang turut merasmikan program tersebut. Turut hadir ialah wakil Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS), OSC-MIDS Daerah Bintulu, serta wakil komuniti nelayan Jepak dan Kuala Tatau.
Menurut Ts. Gs. Dr. Wan Nor Zanariah, sumbangan ini bukan sahaja mencerminkan penguasaan kemahiran teknikal pelajar dalam bidang struktur ladang, tetapi juga menzahirkan peranan universiti dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat. “Projek ini merupakan satu pendekatan pembelajaran yang menggabungkan teori dan amali, di samping menanam nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa ke arah pembangunan komuniti yang lestari,” katanya.
Seramai 30 orang pelajar DKTP01 telah terlibat dalam menyiapkan projek kerusi simenfero ini. Wakil pelajar turut melahirkan rasa bangga dan terharu apabila hasil kerja amali mereka dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat. Menurut mereka, peluang untuk melihat hasil pembelajaran digunakan secara nyata oleh komuniti memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna serta menambah keyakinan diri terhadap bidang yang diceburi.
“Kami berasa gembira kerana hasil kerja tangan kami kini digunakan oleh masyarakat. Ia menjadikan usaha kami lebih bermakna dan memberi motivasi untuk terus berkarya serta menyumbang kepada komuniti,” ujar wakil pelajar DKTP01.
Program Sahabat Maritim Bebas Dadah merupakan inisiatif kolaboratif antara UPM Sarawak (UPMS), APMM Zon Maritim Bintulu, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) dan Pejabat Daerah Bintulu (OSC-MIDS) yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan maritim dan bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti pesisir.
Melalui penglibatan aktif dalam program ini, UPM Sarawak (UPMS) terus komited memperkukuh agenda University for Society (U4S) melalui pengaplikasian ilmu secara praktikal dan sumbangan nyata terhadap pembangunan sosial komuniti tempatan.
Date of Input: 29/10/2025 |
Updated: 29/10/2025 | lanz
MEDIA SHARING