BINTULU, 29 Ogos 2026 — Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus memperkukuh pembentukan mahasiswa holistik menerusi pelaksanaan Program Jiwa Putra UPMS 2026 bagi Sesi Akademik 2026/2027 yang melibatkan pelajar peringkat Diploma.
Program ini merupakan antara teras strategik dan program signature Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah aspirasi True North, yang memberi penekanan kepada pembentukan mahasiswa yang berjiwa sukarelawan, berintegriti, prihatin terhadap komuniti serta cakna terhadap kelestarian alam sekitar.
Mengangkat tema “Sukarela, Prihatin & Lestari”, pelaksanaan Jiwa Putra UPMS 2026 melibatkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebersihan dan keceriaan kampus serta persekitaran sekitar UPMS.
Pada 29 Ogos 2026, para pelajar bersama Fasilitator KKB terlibat dalam aktiviti yang dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar kampus, termasuk Perumahan UPMS–Putra Permai, Medan Selera dan Parkir Pusat Pelajar, Gelanggang Sukan UPMS, kawasan DKP, Perpustakaan UPMS, Kompleks Akademik, Dewan Kuliah Pusat serta kawasan sekitar kampus.
Turut hadir menjayakan program ialah Fasilitator Khas, Mohamad Syukri Bin Mohamad Adnan dan Tuan Haji Fakhzan Hj. Buang, yang bersama-sama memberikan sokongan terhadap pelaksanaan program dan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan serta kelestarian kampus.
Pelaksanaan program ini bukan sekadar memenuhi kehadiran yang ditetapkan, malah menjadi platform untuk mahasiswa turun padang, menyumbang tenaga dan membina rasa tanggungjawab terhadap komuniti serta persekitaran kampus.
Lebih bermakna, penglibatan pelajar daripada pelbagai kursus kokurikulum memperlihatkan semangat kebersamaan warga UPMS dalam menjayakan agenda pembentukan mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kemahiran insaniah.
Komitmen Fasilitator KKB, staf dan pelajar yang bersama-sama menjayakan aktiviti ini turut mencerminkan semangat “satu hati, satu bakti” dalam memastikan kampus bukan sahaja menjadi tempat menimba ilmu, tetapi juga ruang untuk membina nilai kemanusiaan, kepimpinan, kesukarelawanan dan kecintaan terhadap alam sekitar.
“Jiwa Putra, Satu Hati, Satu Bakti, Kampus Lestari.”
Date of Input: 02/09/2026 |
Updated: 02/09/2026 | lanz
MEDIA SHARING