BINTULU, 1 Ogos 2026 – Karnival Perpustakaan “Juh Ke Sitok: UPMS For You” Edisi Ketiga berlangsung dengan lancar dan meriah selama tiga hari bermula 30 Julai hingga 1 Ogos 2026, dengan pelbagai aktiviti interaktif yang menggabungkan elemen ilmu, kreativiti, ketangkasan minda dan hiburan.
Karnival yang dianjurkan oleh Perpustakaan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) ini mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik yang dirangka bagi mewujudkan suasana perpustakaan yang lebih santai, menyeronokkan dan dekat dengan warga kampus dan warga Bintulu.
Program dimulakan pada 30 Julai menerusi Battle of Brains: Sarawak Day Edition. Aktiviti dimulakan dengan sesi pendaftaran dan taklimat ringkas kepada peserta, diikuti sesi ulang kaji serta aktiviti ketajaman minda dan mini games. Kemuncak acara ialah kuiz Battle of Brains: Sarawak Day Edition di mana peserta-peserta diuji dengan soalan kuiz yang berkaitan dengan negeri Sarawak. Edisi kali ini telah di menangi oleh Bahagian Kewangan UPMS.
Pada 31 Julai pula, peserta berpeluang menyertai Kahoot! yang dilaksanakan dalam tiga sesi pada sebelah pagi dan petang. Aktiviti berbentuk kuiz interaktif dengan soalan-umum ini memberikan peluang kepada peserta untuk menguji pengetahuan serta ketangkasan mereka dalam suasana pertandingan yang santai dan menyeronokkan.
Kemeriahan karnival diteruskan pada 1 Ogos dengan dua aktiviti utama, iaitu Puzzle Race dan Pertandingan Karaoke. Cabaran Puzzle Race kali ini merupakan siapa yang paling cepat menyiapkan 500 keping puzzle yang disediakan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Pertandingan Karaoke turut mendapat tempat sebagai salah satu aktiviti hiburan dalam karnival. Pertandingan ini telah disertai seramai 7 peserta yang terdiri daripada penduduk sekitar Bintulu dan pelajar UPMS.
Secara keseluruhannya, penganjuran Karnival Perpustakaan “Juh Ke Sitok: UPMS For You” Edisi Ketiga berlangsung dalam suasana yang lancar dan meriah. Kepelbagaian aktiviti yang disusun sepanjang tiga hari menjadikan karnival ini bukan sahaja sebagai platform untuk menggalakkan penglibatan warga kampus dan penduduk sekitar, malah turut mengetengahkan perpustakaan sebagai ruang yang dinamik, interaktif dan menyeronokkan.
Penganjuran karnival seperti ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan antara perpustakaan dengan warga kampus dan Bintulu serta menggalakkan budaya pembelajaran, kreativiti dan penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti perpustakaan pada masa akan datang.
Date of Input: 17/08/2026 |
Updated: 17/08/2026 | lanz
MEDIA SHARING