KELAB MSAE-SC, UPMKB TERUS UNGGUL DI PENTAS ARC2025, BUKTI KEHEBATAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » KELAB MSAE-SC, UPMKB TERUS UNGGUL DI PENTAS ARC2025, BUKTI KEHEBATAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA

KELAB MSAE-SC, UPMKB TERUS UNGGUL DI PENTAS ARC2025, BUKTI KEHEBATAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Bintulu - Kelab MSAE-SC Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) terus mengharumkan nama institusi apabila mencatat kejayaan cemerlang dalam ‘11th Southeast Asian Agricultural and Food Engineering Student Chapter Annual Regional Convention (ARC2025)’ yang berlangsung di Maejo University, Thailand, dari 23 Februari hingga 8 Mac 2025.

Seramai dua belas pelajar yang mewakili UPMKB iaitu Muhammad, Muhammad Hadwan Fikri, Siti Wan Aishah, Muhammad Zulfiqri, Mohamad Alif Haikal, Zackery Haqeem, Siti Aisyah, Nur Hurin Husna, Hajar Syahirah, Low Zi Yan, Tan Yu Xian dan Docnel Inting berada di bawah bimbingan penasihat kelab MSAE-SC UPMKB, Dr. Nor Hanifawati Binti Inai. Pelajar turut diiring oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Dr. Juniza Md Saad serta pensyarah Jabatan Sains dan Teknologi, Ts. Gs. Dr. Hajjah Wan Nor Zanariah Zainol @ Abdullah dan Ts. Dr. Nozieana Khairuddin. Penglibatan pelajar dalam program ini turut mendapat sokongan daripada Pejabat Pengurusan Pelajar, UPMKB.
 
Pasukan UPMKB mencipta kejayaan gemilang pada ARC2025 dalam pertandingan Media Technical Tour apabila saudari Low Zi Yan berjaya merangkul Anugerah Emas, manakala Zackery Haqeem bin Jaidi memperoleh Anugerah Perak dalam acara yang sama. Kejayaan turut dilakar dalam pertandingan MyCobot Challenge apabila pasukan yang dianggotai oleh Tan Yu Xian, Low Zi Yan, dan Docnel Inting Anak Edwine berjaya membawa pulang Anugerah Perak. Selain itu, pasukan UPMKB yang lain juga turut cemerlang dalam pertandingan Interactive Poster Competition dengan membawa pulang empat Anugerah Gangsa. Ini telah membuktikan keupayaan serta keunggulan pelajar UPMKB, khususnya Kelab MSAE-SC, UPMKB dalam bidang inovasi pertanian dan kejuruteraan makanan di peringkat antarabangsa.
 
ARC2025 menjadi saksi kehadiran universiti-universiti terkemuka di ASEAN, termasuk Maejo University, Suranaree University of Technology, dan KMITL Chumphon dari Thailand, serta Universitas Brawijaya, Universitas Gadjah Mada, dan Universitas Andalas dari Indonesia. Malaysia turut diwakili oleh institusi ternama seperti UPM Kampus Serdang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sultan Zainal Abidin, UiTM Jasin, dan Politeknik Kota Bharu. Kesemua peserta menunjukkan semangat berpasukan serta persaingan yang sihat dan kompetitif dalam pertandingan berprestij ini.
 
Bukan itu sahaja, ARC2025 turut menganjurkan program mobiliti. Program ini memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung termasuk lawatan industri, menghadiri bengkel robotik, dan kunjungan ke kilang pemprosesan makanan. Peserta juga berpeluang menjalani aktiviti praktikal seperti membuat biskut, melawat ladang teh serta menyertai bengkel pertanian bersama pelajar-pelajar Maejo University.
 
Pengalaman menjadi lebih bermakna apabila kumpulan yang dianggotai oleh Tan Yu Xian, salah seorang pelajar dari UPMKB berjaya merangkul Anugerah Best Performance untuk Robotic Workshop serta Anugerah Best Presenter untuk Agricultural Engineering Workshop. Program ini bukan sahaja menambah ilmu dalam pertanian dan teknologi makanan malah mengasah kemahiran berkomunikasi serta memberi pendedahan kepada budaya tempatan.
 
Secara keseluruhannya, program selama 14 hari ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar dalam bidang kejuruteraan pertanian dari negara-negara ASEAN bertukar pengalaman dan menerokai teknologi pertanian terkini. Aktiviti menarik seperti Maze Race turut diadakan bagi menguji kemahiran serta pengetahuan peserta dalam bidang pertanian dan teknologi makanan.
 
Tahniah kepada pasukan UPMKB atas pencapaian cemerlang ini! Diharapkan kejayaan ini akan terus menyuntik semangat pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang pertanian dan teknologi makanan pada masa hadapan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 19/03/2025 | Updated: 19/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (02:57:58pm-03:02:58pm, 08 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]