KEMBARA ILMU UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK (UPMS) MENYANTUNI PELAJAR PULAU BUM BUMI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » KEMBARA ILMU UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK (UPMS) MENYANTUNI PELAJAR PULAU BUM BUMI

KEMBARA ILMU UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK (UPMS) MENYANTUNI PELAJAR PULAU BUM BUMI

Semporna: Terpesona. Disajikan dengan panorama pulau di kelilingi lautan biru dan hijau serta disapa angin pantai, Pulau Bum Bum di Semporna, Sabah bukan sekadar indah pada pandangan mata tetapi menyimpan ribuan impian anak muda yang ingin mengubah nasib diri dan keluarga melalui pendidikan.
 
Bagi pelajar sekolah menengah di pulau ini, laluan menuntut ilmu bukanlah semudah rakan-rakan di bandar. Kemudahan pembelajaran yang terhad, akses teknologi yang tidak menyeluruh serta kekangan sosioekonomi menjadi sebahagian daripada realiti harian.
 
Namun, keterbatasan itu tidak pernah memadamkan cita-cita. Ada yang menyimpan hasrat untuk menjadi cikgu dan kembali menabur bakti di tanah kelahiran. Ada yang bercita-cita menjadi doktor untuk merawat masyarakat setempat yang jauh dari kemudahan kesihatan. Tidak kurang juga yang berazam menjadi pegawai polis demi menjaga keselamatan dan mengangkat martabat komuniti mereka.
 
Menyedari hakikat ini, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah mengambil inisiatif menganjurkan program kembara menyantuni pelajar Pulau Bum Bum sebagai usaha mendekatkan universiti dengan komuniti luar bandar dan pulau. Program tersebut bukan sekadar lawatan rasmi tetapi membawa mesej bahawa pendidikan tinggi bukan hak eksklusif pelajar bandar semata-mata. Selaras dengan misi UPM untuk menjadi institusi yang memberi sumbangan bermakna kepada kemakmuran dan pembangunan negara serta kesejahteraan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu, program ini meneroka aspirasi dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar di Pulau Bum Bum.
 
Antara pengisian program sepanjang kembara ilmu UPMS bersama 300 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bum Bum, Semporna adalah sesi perkongsian, penerangan tentang program-program pengajian yang ditawarkan dan sesi motivasi. Para pelajar diberi gambaran jelas tentang laluan pendidikan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM), bagaimana memilih program pengajian berdasarkan syarat-syarat dan kelayakan akademik, kemudahan biasiswa serta perkongsian tentang kehidupan mahasiswa di universiti.
 
Interaksi secara dua hala dengan pensyarah dan wakil universiti memberi peluang dan ruang untuk para pelajar bertanya soalan, menyuarakan kebimbangan dan membina keyakinan terhadap potensi diri mereka. Bagi sebahagian pelajar, ini merupakan pengalaman pertama mereka didedahkan secara dekat dengan maklumat pendidikan tinggi.
 
Delegasi UPMS dalam Kembara ilmu yang telah diadakan pada 4 hingga 8 Februari 2026, diketuai oleh Ketua Pentadbir, Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan, Tuan Haji Sudirman Bin Asmadi, dianggotai oleh Pegawai Tadbir, Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan, Puan Rosidah Binti Basir dan dua orang Pensyarah Kanan masing-masing dari Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Dr. Ahmad Mustapha Bin Mohamad Pazi dan Dr. Karmilah Binti Abdullah dari Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains.
 
Usaha ini membuktikan bahawa universiti tidak harus menunggu pelajar datang mencari mereka. Sebaliknya, institusi pendidikan tinggi perlu turun padang, menyantuni komuniti dan membawa maklumat terus kepada mereka yang memerlukan. Pendekatan proaktif ini amat signifikan dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada peluang melanjutkan pelajaran hanya kerana kekurangan maklumat atau pendedahan.
 
Sokongan serta dedikasi pengetua dalam memperkasa dan meningkatkan mutu pendidikan pelajar wajar dijadikan contoh, khususnya dalam konteks sekolah luar bandar dan kepulauan. Dengan kepimpinan yang berwawasan, Pengetua SMK Bum Bum, Encik Arifin Bin Musidi sentiasa berusaha mencari ruang penambahbaikan demi memastikan pelajar tidak tercicir daripada arus pembangunan pendidikan.
 
“Kami mungkin berdepan kekangan dari segi kemudahan, namun itu bukan alasan untuk mengurangkan kualiti pendidikan. Apa yang penting ialah kesungguhan guru dan keyakinan pelajar terhadap potensi diri mereka.” katanya. Beliau turut menambah bahawa pembangunan pendidikan di Pulau Bum Bum memerlukan pendekatan kolaboratif yang melibatkan guru, ibu bapa, komuniti serta institusi pendidikan tinggi.
 
“Kami memberi penekanan kepada pembinaan aspirasi pelajar. Apabila mereka jelas tentang hala tuju masa depan, motivasi untuk berjaya akan terbina secara terus,” jelas beliau.
 
Pendekatan ini selari dengan Deklarasi Hala Tuju Pendidikan Daerah Semporna 2024 yang menekankan peningkatan akses pendidikan berkualiti, pengukuhan kepimpinan sekolah, pemerkasaan guru serta pembangunan potensi pelajar secara holistik. Deklarasi tersebut menggariskan komitmen untuk memastikan tiada pelajar tercicir, memperkukuh pencapaian akademik dan sahsiah, serta memperluas jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar.
 
Komitmen UPMS untuk mendekati komuniti luar bandar serta kesungguhan kepimpinan dan warga pendidik di SMK Bum Bum menjadi gabungan yang teguh dalam usaha memberi sinar kepada masa depan para pelajar. Di sebalik segala keterbatasan, motivasi yang disemai sepanjang program kembara ilmu UPMS diharapkan dapat membakar semangat para pelajar agar impian untuk menjadi cikgu, doktor dan pegawai polis tidak lagi sekadar angan-angan, tetapi satu pelayaran yang sedang dirancang bersama wawasan menuju menara gading.
 
 
 
 

 

Date of Input: 08/04/2026 | Updated: 08/04/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (04:09:17pm-04:14:17pm, 11 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]