KEMUNCULAN SULUNG SANTRI D’WANGSA PUTRA, UPM SARAWAK DALAM FESTIVAL TARI & LAGU MELAYU ASLI (FTLA) KE-36 PERINGKAT ZON UTARA 2026 BERJAYA MERAIH NAIB JOHAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » KEMUNCULAN SULUNG SANTRI D’WANGSA PUTRA, UPM SARAWAK DALAM FESTIVAL TARI & LAGU MELAYU ASLI (FTLA) KE-36 PERINGKAT ZON UTARA 2026 BERJAYA MERAIH NAIB JOHAN

KEMUNCULAN SULUNG SANTRI D’WANGSA PUTRA, UPM SARAWAK DALAM FESTIVAL TARI & LAGU MELAYU ASLI (FTLA) KE-36 PERINGKAT ZON UTARA 2026 BERJAYA MERAIH NAIB JOHAN

Bintulu, 4 Julai – Kumpulan tarian Santri D’Wangsa Putra dari Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah mengharumkan nama universiti apabila muncul Naib Johan dalam Festival Tari & Lagu Melayu Asli (FTLA) Ke-36 Peringkat Zon Utara 2026 yang telah berlangsung pada 3 hingga 4 Julai 2026 di Dewan Sri Kenyalang, UPMS.
 
Pencapaian membanggakan ini lebih bermakna apabila penyertaan kali pertama UPMS dalam festival berprestij tersebut berjaya diterjemahkan dengan kemenangan yang melayakkan pasukan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,500.00, berserta piala dan sijil penghargaan.
 
Hadiah kemenangan telah diterima oleh Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, bersama Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS, En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan, yang hadir mewakili pengurusan universiti pada majlis penyampaian hadiah.
 
Seramai 12 orang pelajar UPMS telah mewakili universiti dalam pertandingan ini. Mereka mempamerkan semangat berpasukan, disiplin yang tinggi serta keupayaan mengangkat keindahan seni tari yang mengetengahkan keunikan budaya Iban di Borneo melalui persembahan yang kreatif dan penuh penghayatan hasil sentuhan kreativiti Hairi Hedeir.
 
Festival yang menghimpunkan enam kumpulan dari Zon Utara Sarawak, melibatkan penyertaan dari Miri, Bintulu dan Mukah, menjadi pentas bagi setiap pasukan mempersembahkan koreografi yang mencerminkan kekayaan warisan budaya dan identiti etnik di Borneo. Bagi edisi kali ini, Gahrentak Arts and Culture (Miri) dinobatkan sebagai Johan, manakala Majestic Shades Dancer (Bintulu) menduduki Tempat Ketiga.
 
UPMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan komitmen sepanjang proses persediaan sehingga kejayaan ini dapat dicapai. Pencapaian tersebut membuktikan bahawa mahasiswa UPMS bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berpotensi besar sebagai duta seni dan budaya yang mampu bersaing di pentas yang lebih tinggi.
 
UPMS turut menzahirkan harapan agar Santri D’Wangsa Putra diberikan peluang untuk beraksi pada Peringkat Akhir Festival Tari & Lagu Melayu Asli (FTLA) Sarawak Ke-36, yang akan diumumkan kelak. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melahirkan generasi mahasiswa yang berani, kreatif dan berdaya saing dalam memartabatkan warisan seni budaya Sarawak di persada yang lebih luas.
 
UPMS TERUS MANSANG!
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 06/07/2026 | Updated: 06/07/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (05:12:21am-05:17:21am, 18 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]