BINTULU, 18 OKTOBER 2025 – Kesatuan Kakitangan Sokongan UPM Kampus Bintulu Sarawak (KEPEKASA) berjaya menganjurkan Program Ahli Kesatuan Berdaya Saing Pemacu Motivasi Dunia Pekerjaan dengan jayanya di Hotel Promenade, di sini hari ini. Program sehari ini merupakan salah satu inisiatif pembangunan modal insan kesatuan sekerja yang dibiayai melalui Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2025 dan dengan kerjasama Unit Latihan Pejabat Pendaftar UPMS.
​Seramai lebih 80 orang ahli KEPEKASA menyertai kursus ini yang berobjektif untuk memperkukuh pengetahuan ahli mengenai peranan kesatuan dan menyuntik semangat motivasi diri bagi mendepani cabaran dunia pekerjaan moden.
​Presiden KEPEKASA dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia (JHEKS) atas kelulusan Geran latihan dan pendidikan PHEKS berjumlah RM20,000.00 yang menjadi pemangkin utama dalam menjayakan program berimpak tinggi ini.
​Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini merangkumi tiga modul utama yang disampaikan penceramah jemputan iaitu Encik Ramli Bin Bujang dari KESAUMAS UNIMAS, Encik Ismail Bin Mohammad Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Negeri Sarawak, dan Dr. Chan Siaw Leng, Pensyarah kanan dari Jabatan Sains Sosial Dan Pengurusan, UPM Sarawak.
​Majlis Penutupan turut diserikan dengan penyampaian Cenderahati Kepada Ahli Yang akan bersara pada tahun 2026, sebagai tanda penghargaan KEPEKASA atas jasa bakti mereka.
​Penganjuran program yang dibiayai Geran PHEKS ini bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kemahiran dan motivasi ahli, malah memperkukuh tadbir urus dan pergerakan kesatuan sekerja di Sarawak, selaras dengan matlamat Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) untuk memperkasakan golongan pekerja di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Date of Input: 22/10/2025 |
Updated: 22/10/2025 | lanz
MEDIA SHARING