BINTULU: Pembangunan jaringan jalan raya terus menjadi fokus kerajaan Sarawak dalam meningkatkan ketersambungan di seluruh wilayah ini sekali gus memacu pemerkasaan sektor pertanian tempatan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah memperuntuk sejumlah RM20 bilion setakat ini bagi pelaksanaan projek-projek jalan raya termasuk jalan pesisir.
“Ia memakan kos yang tertinggi disebabkan keperluan di kawasan berdekatan sungai, contohnya projek Jambatan Bintulu-Jepak yang bernilai lebih RM400 juta.
“Jambatan ini akan menyediakan akses di antara kawasan Bintulu Proper dan Jepak. Seterusnya, dari Jepak kita akan dapat ke Tatau. Ini akan membuka kawasan berkenaan untuk aktiviti pertanian selain sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Kongres Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan (COSAFS2024) di sini pada Jumaat.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pemerkasaan jaringan jalan raya dapat menjurus kepada kemajuan sektor pertanian memandangkan usahawan tani boleh mendapat akses kepada pasaran luar.
Beliau menjelas lanjut, akses kepada pasaran luar merupakan faktor penting dalam pembangunan pertanian selain dua faktor lain iaitu teknologi dan infrastruktur.
Dalam hal ini katanya, sistem pengairan dan saliran juga dijadikan keutamaan untuk fasa pertama pembangunan kawasan seluas 3,000 hektar merangkumi Tanjung Bijat, Stumbin dan Lingga di Sri Aman, Gedong dan Simunjan serta Lundu sebagai lokasi penanaman padi.
“Kita tidak boleh menunggu keputusan Putrajaya kerana ini adalah keperluan mendesak.
“Jadi, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM500 juta untuk membangunan kawasan-kawasan ini dengan peruntukan awal sebanyak RM32 juta telah disalurkan untuk Gedong dan selepas ini kita akan memajukan sistem pengairan dan saliran di Sri Aman, Lingga, Tanjung Bijat dan Lundu,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari juga telah menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Pertanian Sarawak diwakili Pengarahnya Dominic Chunggat dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diwakili Naib Canselor UPM Dato’ Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd. Sadullah.
Perkongsian ini menandakan lembaran baharu dalam kecemerlangan dan inovasi pertanian sekali gus membuka ruang untuk kemajuan masa depan yang akan memberi manfaat kepada komuniti tempatan dan pihak lain.
Turut diadakan penyampaian kerjasama penyelidikan antara Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Ruslan Abdul Ghani dan UPM Kampus Bintulu diwakili Pengarahnya Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini.
Hadir sama ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri M-FICORD Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin Ben, Setiausaha Tetap M-FICORD Sirai Daha, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Datu Dr Adrian Susin Ambud, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pengerusi Lembaga Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo, Ketua-Ketua Jabatan, serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS

Date of Input: 15/07/2024 | Updated: 15/07/2024 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia