
BINTULU: Kerjasama erat antara kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), penggiat industri berkaitan serta komuniti menjadi kunci utama bagi mempercepatkan transformasi sektor pertanian, sekali gus merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri terus menggiatkan pelbagai inisiatif bagi memodenkan sektor pertanian menerusi penggunaan teknologi, pengkomersialan, inovasi dan amalan pertanian mampan.
"Usaha ini bukan sahaja bertujuan mengukuhkan rantaian nilai agromakanan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada golongan petani, usahawan dan komuniti di luar bandar," ujarnya.
Beliau berkata berkata demikian semasa berucap pada Kongres Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan 2026 (COSAFS2026) di sini, hari ini.
Sarawak katanya, amat komited untuk mengukuhkan sektor pertanian dan agromakanan melalui pendekatan yang lebih moden, inovatif dan mampan.
Namun begitu tegasnya, kejayaan mencapai sasaran sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030 memerlukan kerjasama kukuh daripada semua pihak termasuk institusi akademik, sektor industri berkaitan dan anggota masyarakat.
Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata, institusi penyelidikan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) memainkan peranan penting dalam menjana pengetahuan baharu serta membangunkan teknologi inovatif yang mampu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal bagi meningkatkan produktiviti pertanian termasuk mengukuhkan keselamatan makanan dan merancakkan pembangunan luar bandar.
Menurutnya, inisiatif seperti AgriHub membuktikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti melalui kerjasama strategik antara kerajaan, universiti, industri dan masyarakat setempat, malah pendekatan tersebut kini diperluaskan ke lebih banyak lokasi strategik di negeri ini.
Beliau turut berkata, penubuhan Sekolah Sains Haiwan dan Veterinari (SVAS) akan mengukuhkan pembangunan kepakaran veterinar tempatan bagi menyokong kesihatan ternakan, keselamatan makanan serta biosekuriti yang menjadi antara tonggak utama agenda keselamatan makanan negeri.
"Pelaburan dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan amat penting bagi memastikan sektor agromakanan Sarawak terus berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan masa depan," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata penganjuran COSAFS2026 turut menyediakan platform berguna kepada delegasi dalam dan luar negara khususnya buat penyelidik, pembuat dasar, pemain industri, usahawan dan pelajar supaya bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta menjalinkan kerjasama strategik dalam menangani cabaran keselamatan serta krisis makanan global.
Katanya, penyertaan delegasi dari pelbagai negara mencerminkan komitmen bersama dalam memanfaatkan sains, inovasi dan kerjasama antarabangsa bagi membangunkan sistem makanan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
"Apa yang lebih penting ialah semua peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya kongres ini bagi membina rangkaian profesional termasuk memulakan kerjasama penyelidikan baharu serta meneroka penyelesaian inovatif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada Sarawak, malah kepada rantau ini secara keseluruhannya," tambah beliau.
Date of Input: 17/08/2026 | Updated: 17/08/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia