KUCHING, 22 Jun 2026 - Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan bagi memperkasa penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan biodiversiti.
Baru-baru ini, wakil UPMS daripada Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), iaitu Dr. Anysia Hedy Ujat dan Dr. Mohammad Azizi Haji Jamil, telah mengadakan sesi perbincangan serta lawatan ke Fungorium dan Herbarium Jabatan Hutan Sarawak (Forest Department Sarawak, FDS).
Sesi tersebut telah diketuai oleh Puan Noorhana Binti Mohd Sapawi, Pegawai Penyelidik Jabatan Hutan Sarawak, yang turut berkongsi pengalaman dan kepakaran berkaitan pengurusan koleksi herbarium dan Fungorium. Lawatan ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang dokumentasi, pemuliharaan dan pengurusan spesimen biodiversiti, khususnya tumbuhan dan fungi.
Pihak FDS mengalu-alukan kerjasama dengan UPMS serta menyokong usaha universiti untuk membangunkan kemudahan herbarium sebagai pusat rujukan penting bagi aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Selain itu, FDS turut menyatakan kesediaan untuk menyediakan latihan dan perkongsian kepakaran kepada warga UPMS dalam aspek pengurusan, penyelenggaraan dan pembangunan herbarium yang memenuhi standard saintifik.
Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang dalam bidang penyelidikan biodiversiti, pembangunan modal insan, perkongsian ilmu dan pemeliharaan khazanah flora serta fungi Sarawak yang kaya dan unik untuk manfaat generasi akan datang.
UPMS komited memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti demi menyokong agenda kelestarian dan pembangunan ilmu di Sarawak.
Date of Input: 25/06/2026 |
Updated: 25/06/2026 | lanz
MEDIA SHARING