KPT PERKASA AKSES PENDIDIKAN TINGGI DI LUAR BANDAR MENERUSI PROGRAM OUTREACH BERSASAR DI SUBIS | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » KPT PERKASA AKSES PENDIDIKAN TINGGI DI LUAR BANDAR MENERUSI PROGRAM OUTREACH BERSASAR DI SUBIS

KPT PERKASA AKSES PENDIDIKAN TINGGI DI LUAR BANDAR MENERUSI PROGRAM OUTREACH BERSASAR DI SUBIS

BEKENU, 1 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) telah berjaya menganjurkan Program Outreach Bersasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Subis selama dua hari bermula 31 Julai hingga 1 Ogos 2026 di Daerah Subis, Sarawak.
 
Program ini bertujuan memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat luar bandar di samping memperkukuh pembangunan komuniti menerusi pengisian berteraskan pendidikan, STEM, pertanian dan penglibatan komuniti.
 
Program dimulakan dengan Malam Ilmu dan Budaya Bertaut di Kampung Pejuang Kelulit pada 31 Julai 2026 yang menghimpunkan penduduk setempat dalam pelbagai aktiviti berunsurkan pendidikan dan kebudayaan.
 
Antara pengisian utama ialah Bicara Pendidikan Tinggi, Pertandingan Fesyen Pra-Sambutan Hari Kebangsaan, Kelulit Idol, persembahan kebudayaan serta penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Program ini menjadi platform mendekatkan masyarakat luar bandar dengan peluang pendidikan tinggi dalam suasana santai dan mesra komuniti.
 
Kemuncak program berlangsung pada 1 Ogos 2026 menerusi Mini Karnival Pendidikan Tinggi Subis di Dewan Masyarakat Bekenu. Karnival ini menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan rakan strategik dalam usaha menyampaikan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian, laluan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi serta pembangunan kerjaya kepada pelajar dan masyarakat setempat.
 
Antara tarikan utama karnival ialah sesi "Tips & Tricks UPUOnline" yang disampaikan oleh YBrs. Encik Mohd Najib Mohd Sarif, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi. Sesi ini memberi pendedahan secara langsung mengenai kaedah membuat permohonan UPUOnline, strategi pemilihan program pengajian serta peluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi awam.
 
Selain itu, pengunjung turut berpeluang mengunjungi reruai pameran institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan, mendapatkan khidmat konsultasi akademik, menyertai pertandingan STEM serta mengikuti demonstrasi pertanian seperti Hidroponik DIY, Kenali Kesuburan Tanah Anda dan Penternakan Udang Kara. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai pendidikan tinggi malah memperkenalkan inovasi dalam bidang pertanian kepada masyarakat luar bandar.
 
Majlis Perasmian Mini Karnival Pendidikan Tinggi Subis turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Prof. Dr. Zainal Amin bin Ayub, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi serta Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak. Ucapan Perasmian YB Datuk Hajah Rosey binti Haji Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak telah diwakili oleh Pegawai Daerah Subis, Tuan Ashard bin Samshu.
 
Sempena majlis tersebut turut diadakan penyampaian sumbangan Projek 1 Pelajar, 1 Meja (1P1M), penyampaian cenderamata kepada rakan strategik, lawatan ke reruai pameran serta sesi bergambar bersama para tetamu kehormat.
 
Pada sebelah petang, program diteruskan melalui KPT Bersama Komuniti Niah yang berlangsung di Rumah Panjang Patrick Libau dan Rumah Panjang Agnes. Program ini memberi penekanan kepada pengukuhan hubungan antara universiti dan komuniti menerusi penyampaian Sijil Impact Digital Community Tourism 2.0 (IDCT 2.0), pertandingan fesyen kanak-kanak sempena Pra-Sambutan Hari Kebangsaan, persembahan kebudayaan masyarakat Iban serta aktiviti interaksi bersama penduduk rumah panjang.
 
Penganjuran Program Outreach Bersasar KPT Subis mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh masyarakat tanpa mengira lokasi geografi. Melalui kerjasama strategik bersama UPM Sarawak, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti setempat, program ini berjaya menggabungkan elemen pendidikan, STEM, pertanian dan pembangunan komuniti dalam satu platform yang menyeluruh.
 
Program ini diharapkan dapat meningkatkan aspirasi pelajar luar bandar untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi, memperkukuh jaringan kerjasama antara pelbagai pihak serta menyokong agenda pembangunan modal insan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 17/08/2026 | Updated: 17/08/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (10:05:08pm-10:10:08pm, 13 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]