KUNJUNGAN HORMAT PAUPM SARAWAK KE UPMS PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK DAN PERANAN ALUMNI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » KUNJUNGAN HORMAT PAUPM SARAWAK KE UPMS PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK DAN PERANAN ALUMNI

KUNJUNGAN HORMAT PAUPM SARAWAK KE UPMS PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK DAN PERANAN ALUMNI

Bintulu, 2 April 2026 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia Sarawak (PAUPM Sarawak) dalam satu sesi pertemuan strategik yang mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh sinergi antara universiti dan komuniti alumninya.

Kunjungan ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan kepimpinan PAUPM Sarawak kepada pihak pengurusan UPMS malah menjadi platform penting untuk bertukar pandangan, berkongsi aspirasi dan meneroka potensi kerjasama strategik yang mampu menyumbang kepada pembangunan universiti secara menyeluruh.
 
Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan secara terbuka mengenai hala tuju pembangunan universiti khususnya dalam memperkukuh peranan alumni sebagai rakan strategik yang mampu menyumbang kepakaran, pengalaman serta jaringan industri kepada ekosistem pendidikan tinggi.
 
Perbincangan turut menekankan kepentingan penglibatan aktif alumni sebagai pemangkin dalam memperkasa kecemerlangan universiti khususnya dalam merapatkan hubungan antara dunia akademik dan industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
 
Selain itu, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam pembangunan produk berasaskan pertanian dan penternakan yang selari dengan kekuatan teras UPMS. Inisiatif ini dilihat berupaya memberi nilai tambah kepada universiti serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi berasaskan sumber tempatan di Sarawak.
 
Peluang penglibatan alumni dalam pelbagai inisiatif universiti seperti program perkongsian kepakaran profesional, bimbingan kerjaya serta sokongan terhadap aktiviti penyelidikan dan inovasi turut diketengahkan sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala.
 
Delegasi PAUPM Sarawak diketuai oleh Pengerusi, Datuk Sylvester Entri anak Muran, bersama Timbalan Pengerusi, Datu Haji Mohammed Sepuan bin Anu, Penolong Setiausaha, Tuan Haji Musa bin Brahim, Bendahari, Puan Hajjah Sharifah Junaidah binti Wan Jawi serta beberapa ahli lain iaitu Dato Haji Sapuan bin Ahmad, Datu Haji Maria bin Hasman, Dr. Joseph Jubin Aru@Aro, Puan Norjanah binti Razali dan Puan Dayang Siti Ainijah binti Abang Mon.
 
Turut hadir, Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Prof. Madya Ts. Dr. Wong Tze Jin, Timbalan Pengarah Pusat Pertanian Putra, Prof. Madya Dr. Amy Halimah binti Rajaee, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Puan Siti Rajanah Abdul Aziz serta Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar, En. Mohamad Syukri bin Mohamad Adnan.
 
Kunjungan ini diyakini menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara UPMS dan komuniti alumninya seterusnya memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan industri berasaskan pertanian di Borneo.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 04/05/2026 | Updated: 04/05/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (02:53:39pm-02:58:39pm, 15 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]