KUCHING, 26 Mei – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi telah berkenan menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Putra Malaysia (UPM) di Astana Negeri Sarawak pagi ini.
Kunjungan ini bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada TYT Tun Pehin Sri dan YABhg. Toh Puan untuk menghadiri Majlis Pengisytiharan Universiti Putra Malaysia Sarawak, yang akan berlangsung pada 30 Jun 2025 (Isnin) bertempat di Istana Alam Shah, Klang, Selangor.
Majlis ini kelak merupakan simbolik kepada penjenamaan semula Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), sebagai pengiktirafan terhadap peranan signifikan Sarawak dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.
Selain itu juga, pihak UPM turut mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada TYT Tun Pehin Sri mengenai pelantikan YBhg. Tan Sri Peter Chin Fah Kui sebagai Pro-Canselor UPM yang baharu, berkuat kuasa mulai 18 Oktober 2024.
Pelantikan ini mencerminkan komitmen yang tinggi UPM untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan kepimpinan negeri Sarawak dalam memperluas manfaat bersama dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan komuniti, sekali gus memperhebat inisiatif pembangunan komuniti, pendidikan tinggi serta penyelidikan bertaraf global.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan termasuklah penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) di Sarawak serta peranan UPM dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
TYT Tun Pehin Sri merakamkan penghargaan kepada pihak Universiti Putra Malaysia dan berharap hubungan erat antara Universiti Putra Malaysia dan kepimpinan negeri Sarawak dalam memberi impak positif kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya.
Dalam pertemuan tersebut juga, TYT Tun Pehin Sri menzahirkan harapan agar Universiti Putra Malaysia dapat terus memperkukuh usaha memperluas akses kepada pendidikan berkualiti tinggi di Sarawak, melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, serta menjadi peneraju dalam penyelidikan dan inovasi yang memanfaatkan rakyat negeri ini secara menyeluruh.
Foto: Astana Negeri Sarawak
Date of Input: 26/05/2025 |
Updated: 26/05/2025 | lanz
MEDIA SHARING