LAWATAN AKADEMIK CFM2201: PELAJAR UPMS TEROKAI AMALAN PENGURUSAN LADANG DI PUSAT LATIHAN PERTANIAN BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » LAWATAN AKADEMIK CFM2201: PELAJAR UPMS TEROKAI AMALAN PENGURUSAN LADANG DI PUSAT LATIHAN PERTANIAN BINTULU

LAWATAN AKADEMIK CFM2201: PELAJAR UPMS TEROKAI AMALAN PENGURUSAN LADANG DI PUSAT LATIHAN PERTANIAN BINTULU

BINTULU – Seramai 20 orang pelajar Diploma Kejuruteraan Teknologi Pertanian (DKTP) Semester 4 daripada kursus CFM2201 Pengurusan Ladang, Jabatan Sains Tanaman (JST), Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menyertai satu lawatan akademik ke Pusat Latihan Pertanian (PLP), Sungai Sebiew, Batu 11, Jalan Bintulu–Miri baru – baru ini.

Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai amalan sebenar pengurusan ladang serta aplikasi teknologi pertanian yang digunakan dalam Pembangunan sektor pertanian. Melalui program ini, pelajar berpeluang memahami operasi pengurusan tanaman serta pendekatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian dalam meningkatkan produktiviti dan pengurusan tanaman secara mampan.

Rombongan pelajar telah diiringi oleh staf JST iaitu Felo Pengajar Cik Siaw Shin Yee selaku penyelaras kursus, Dr. Anysia Hedy Binti Ujat, serta Penolong Pegawai Sains, En. Arni Bin Japar. Ketibaan rombongan telah disambut oleh En. Mohd Amirul Muqqaddas bin Dabeny, Penolong Pegawai Pertanian yang turut menyelaras program dan menyampaikan taklimat berkaitan fungsi serta peranan Pusat Latihan Pertanian (PLP) dalam Pembangunan latihan dan teknologi pertanian di bawah Jabatan Pertanian.

Sepanjang lawatan, pelajar berpeluang melawat beberapa kawasan tanaman termasuk ladang kelapa Tacunan, kopi Liberica dan ladang limau. Penerangan berkaitan pengurusan tanaman kelapa dan kopi telah disampaikan oleh En. Hadiman bin Julaihi yang berkongsi pengalaman serta amalan pengurusan tanaman yang dilaksanakan di pusat latihan tersebut. Selain itu, para pelajar turut mengikuti sesi demonstrasi teknik cantuman pokok limau yang dibimbing oleh En. Juing Anak Kunsil.

Aktiviti ini memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai teknik pembiakan tanaman yang penting dalam meningkatkan kualiti serta produktiviti tanaman buah-buahan.

Pihak fakulti turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program lawatan akademik ini. Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menghubungkaitkan teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah dengan situasi sebenar di lapangan, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap aspek pengurusan ladang serta memupuk minat untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan sektor pertanian pada masa hadapan.

 

Date of Input: 09/04/2026 | Updated: 09/04/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (02:25:58am-02:30:58am, 17 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]