LAWATAN AKADEMIK DELEGASI SMK BUGAYA, SEMPORNA KE UPM SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » LAWATAN AKADEMIK DELEGASI SMK BUGAYA, SEMPORNA KE UPM SARAWAK

LAWATAN AKADEMIK DELEGASI SMK BUGAYA, SEMPORNA KE UPM SARAWAK

26 Ogos 2026 — Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), UPM Sarawak telah menerima Lawatan Akademik Delegasi SMK Bugaya, Semporna ke UPM Sarawak sebagai salah satu pengisian Program Kembara Ilmu Jelajah Borneo Semporna - Kuching 2026, yang dilaksanakan selaras dengan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
 
Kunjungan ini melibatkan 20 orang pelajar Tingkatan 6 aliran Sastera bersama guru-guru pengiring, diketuai oleh Pengetua SMK Bugaya, Tuan Haji Johan bin Haji Okasa. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Juniza binti Md Saad, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), FKPS, UPM Sarawak, diikuti taklimat pengenalan program akademik UPM Sarawak oleh Tuan Haji Sudirman bin Asmadi, Ketua Pentadbir, Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan, UPMS.
 
Delegasi turut mengikuti sesi perkongsian pengalaman sepanjang pengajian di UPM Sarawak bersama Saudari Sarina binti Samsudin, pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan (Kepujian), Semester 6, merangkap Presiden Majlis Perwakilan Fakulti Sesi Akademik 2026/2027, dan Saudara Alexender anak Tony, pelajar program yang sama, Semester 4, merangkap Timbalan Presiden 1 Majlis Perwakilan Kolej. Perkongsian meliputi pengalaman akademik, kehidupan kampus, aktiviti kokurikulum serta peluang penglibatan mahasiswa dalam persatuan dan kepimpinan.
 
Pengisian turut merangkumi lawatan ke bilik-bilik kuliah serta Perpustakaan UPM Sarawak, yang disantuni oleh En. Awang Ahmad Faizi Awang Dahlan, Ketua Pustakawan. Selain itu, delegasi turut berpeluang berkunjung ke Kolej Sri Rajang dan Dapur Siswa MADANI @ UPMS yang disantuni oleh En. Fauzi Mohamad, Penolong Pegawai Tadbir, Kolej Sri Rajang bersama mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat sebagai sukarelawan.
 
Secara keseluruhannya, program ini memberikan gambaran yang lebih dekat kepada para pelajar mengenai persekitaran pembelajaran, program akademik, kemudahan kampus, kehidupan mahasiswa serta ruang penglibatan dalam aktiviti dan kepimpinan sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian selepas Tingkatan 6.
 
FKPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada delegasi SMK Bugaya serta seluruh warga UPM Sarawak yang telah memberikan kerjasama dan menjayakan program ini. Semoga kunjungan ini menjadi pengalaman yang bermakna serta menyuntik inspirasi kepada para pelajar dalam menentukan hala tuju pendidikan dan masa hadapan mereka.
 
Selamat meneruskan Kembara Ilmu Jelajah Borneo Semporna - Kuching 2026!
 

 

Date of Input: 28/08/2026 | Updated: 28/08/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (02:32:06pm-02:37:06pm, 15 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]