BINTULU, 9 Jun 2026 – Seramai 51 orang pelajar Diploma Pengurusan Perladangan Makanan (DPPM) dan 72 orang pelajar Diploma Pertanian Semester 3 daripada kursus CFM2203 Pengurusan Ladang dan PRT2008 Pertanian dan Manusia, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menyertai satu lawatan akademik ke Stesen MARDI Bintulu, KM 55, Jalan Bintulu-Miri, Simpang Bakun.
Lawatan ini bertujuan untuk menyokong pembelajaran teori mengenai sistem pengurusan tanaman, penyelenggaraan ladang sebenar, dan penggunaan peralatan pertanian yang betul. Melalui program ini, pelajar berpeluang menghubungkan teori di bilik kuliah dengan aplikasi sebenar di lapangan, di samping memahami peranan agensi kerajaan (MARDI) dalam menyokong pembangunan usahawan tani, pemindahan teknologi, dan komuniti pertanian setempat.
Rombongan pelajar telah diiringi oleh Dr. Anysia Hedy Ujat, Cik. Siaw Shin Yee, Encik Arni Japar dan Puan Georgina Sylvia Niwin. Setibanya di lokasi, rombongan telah memulakan aktiviti dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengurus, Encik Mohammad Hisyam Jos dan Pegawai Stesen MARDI Bintulu.
Sepanjang lawatan tersebut, para pelajar telah mengikuti sesi lawatan lapangan le tapak semaian kopi Liberica, ladang durian, rambutan dan cempedak. Pelajar juga didedahkan kepada perusahaan ternakan madu kelulut. Melalui lawatan tersebut, pelajar diberi peluang untuk melihat dan memahami secara langsung amalan pengurusan pertanian yang dilaksanakan di Stesen MARDI Bintulu. Melalui pendedahan ini, para pelajar dapat memperoleh gambaran yang lebih jelas tentang pengurusan tanaman, amalan agronomi, serta teknologi dan inovasi yang diaplikasikan dalam sektor pertanian.
Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada usaha pemuliharaan sumber genetik tanaman melalui penanaman spesies pokok nadir menggunakan biji benih, yang berperanan dalam mengekalkan kepelbagaian agro-biodiversiti dan memperkukuh keselamatan makanan negara. Lawatan ini juga memberikan pemahaman tentang kepentingan pemuliharaan ex-situ dalam melindungi sumber genetik tanaman bernilai bagi kegunaan penyelidikan, pembangunan varieti baharu dan kelestarian sektor pertanian pada masa hadapan.
Pengalaman pembelajaran secara langsung di lapangan ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah, malah membantu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap prinsip, konsep dan teknik pengurusan pertanian yang berkesan dalam situasi sebenar.
Pihak fakulti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Stesen MARDI Bintulu atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program lawatan akademik ini. Program ini diharap dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap pengurusan ladang lestari serta kepentingan pemuliharaan tanaman nadir dan sumber genetik tanaman dalam menyokong keterjaminan makanan negara. Program ini juga diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan strategik antara Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan MARDI Sarawak demi kemajuan sektor pertanian negara.
Date of Input: 18/06/2026 |
Updated: 18/06/2026 | lanz
MEDIA SHARING