Bintulu, 1 Ogos – Unit Pusat Sumber Politeknik Mukah telah mengadakan lawatan penanda aras ke Perpustakaan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak baru-baru ini. Lawatan ini bertujuan untuk mempelajari dan memperoleh pengalaman berharga berkaitan pengurusan perpustakaan, penggunaan teknologi, serta pengembangan sumber-sumber maklumat yang berkesan.
Rombongan yang diketuai oleh Puan Rosfatimah binti Wasli melibatkan beberapa pegawai dan staf dari Unit Pusat Sumber Politeknik Mukah. Mereka disambut oleh pihak pengurusan Perpustakaan UPM Kampus Bintulu yang diketuai oleh Encik Awang Ahmad Faizi Awang Dahlan.
Sepanjang lawatan tersebut, peserta diberikan taklimat mengenai Sistem pengurusan perpustakaan terkini yang digunakan di sini. Mereka juga berpeluang untuk bertukar pendapat dan pengetahuan mengenai Pengurusan Sumber digital, termasuk Portal-portal perpustakaan yang disediakan untuk para pengguna.
Lawatan ini juga melibatkan sesi perbincangan dua hala yang membincangkan amalan terbaik dalam pengurusan perpustakaan dan cabaran yang dihadapi dalam era digital. Peserta dari Politeknik Mukah menunjukkan minat yang mendalam dalam memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan kemudahan di Unit Pusat Sumber mereka sendiri.
Pihak Unit Pusat Sumber Politeknik Mukah menyambut baik peluang ini dan berharap hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi akan terus berkembang. Besar harapan kedua-dua institusi ini dapat menerapkan beberapa inisiatif yang dipelajari untuk meningkatkan pengalaman pengguna di Unit Pusat Sumber Politeknik Mukah.
Date of Input: 05/08/2024 |
Updated: 05/08/2024 | lanz
MEDIA SHARING