BINTULU, 5 Oktober 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi ilmu yang memacu pembangunan komuniti apabila ribuan pelajar baharu melapor diri untuk memulakan pengajian bagi Program Bacelor Semester Pertama Sesi Akademik 2025/2026.
Dengan tema “Legasi Kecemerlangan Ilmu Bermula di Sini”, ketibaan pelajar baharu bukan sahaja menandakan permulaan perjalanan akademik mereka, tetapi juga simbol kesinambungan misi UPMS dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berbakti dan berdaya saing untuk membangunkan Sarawak serta negara.
Pengarah UPM Sarawak, YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa UPMS bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi wadah untuk membina karakter, kepimpinan dan keprihatinan terhadap masyarakat.
“Kami di UPMS percaya setiap pelajar baharu membawa sinar perubahan. Datanglah dengan harapan dan pulanglah dengan kejayaan. Di sinilah benih ilmu dan semangat berbakti mula disemai,” ujar beliau.
Pelajar baharu akan melalui Minggu PERKASA PUTRA, program pengenalan komprehensif yang memberi pendedahan kepada budaya ilmu, nilai integriti, semangat kesukarelawanan, serta peluang membina jaringan komuniti kampus dan luar universiti.
Selain itu, pelbagai inisiatif kampus hijau dan program komuniti turut diperkenalkan kepada pelajar sebagai langkah memperkukuh penglibatan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan, inovasi dan kelestarian alam sekitar — selaras dengan falsafah UPMS berteraskan Pertanian, Inovasi dan Kehidupan.
UPMS percaya bahawa generasi pelajar baharu inilah yang akan menjadi duta ilmu dan agen perubahan, menjunjung legasi Berilmu Berbakti serta terus membawa nama universiti ke persada kecemerlangan.
Selamat datang ke keluarga besar Universiti Putra Malaysia Sarawak di sinilah masa depan dibina, dan kecemerlangan ilmu bermula.















Date of Input: 08/10/2025 | Updated: 08/10/2025 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia