BINTULU, 14 Julai – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus melakar legasi dalam dunia pendidikan tinggi apabila menerima kemasukan seramai 391 pelajar baharu bagi Program Diploma dan Persediaan Diploma Sains untuk Ambilan Semester Pertama Sesi Akademik 2025/2026.
Dengan tema "Legasi Kecemerlangan Ilmu Bermula Di Sini", pelajar baharu ini hadir dari pelbagai latar belakang dan dari negeri seluruh Malaysia memilih UPMS sebagai langkah awal dalam membina masa depan, khususnya dalam bidang pertanian dan perikanan, yang menjadi teras kekuatan institusi ini.
UPMS berbesar hati menyambut kehadiran pelajar baharu ke dalam keluarga besar Universiti Putra Malaysia. Dengan iltizam untuk melahirkan graduan berilmu dan berbakti, para pelajar diseru untuk memanfaatkan setiap peluang sepanjang tempoh pengajian.
“Datanglah dengan harapan, pulanglah dengan kejayaan! Ukir kenangan terindah sepanjang berada di kampus ilmu ini,” demikian antara pesanan kepada para pelajar baharu dalam menyambut perjalanan akademik mereka.
Bersempena dengan ketibaan pelajar baharu, Minggu PERKASA PUTRA akan menjadi platform pengenalan bagi mempersiapkan mereka dengan informasi, nilai dan semangat universiti. Pelbagai aktiviti diperkenalkan bagi membantu proses penyesuaian serta memperkukuh jati diri mahasiswa.
UPMS sentiasa berpegang teguh kepada nilai Pertanian, Inovasi dan Kehidupan, seiring dengan aspirasi universiti dalam mencorak masa depan yang cemerlang demi kelangsungan pembangunan negara.
Selamat datang ke UPMS. Bersama, kita terus MANSANG dan mencipta legasi kecemerlangan ilmu!

















Date of Input: 16/07/2025 | Updated: 16/07/2025 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia