LIDAR TECHNOLOGY WORKSHOP SOKONG AGENDA KELESTARIAN DAN MITIGASI IKLIM DI SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » LIDAR TECHNOLOGY WORKSHOP SOKONG AGENDA KELESTARIAN DAN MITIGASI IKLIM DI SARAWAK

LIDAR TECHNOLOGY WORKSHOP SOKONG AGENDA KELESTARIAN DAN MITIGASI IKLIM DI SARAWAK

Bintulu, Sarawak – 15 Ogos 2025 – Institut Ekosains Borneo, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak dan disokong oleh Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Pejabat Pengurusan Pelajar serta Pusat Pembangunan Teknologi Maklumat UPMS telah berjaya menganjurkan LiDAR Technology Workshop selama lima hari, bermula 11 hingga 15 Ogos 2025. Bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik untuk memperkukuh penyelidikan berkaitan pemantauan karbon hutan dan pembangunan kapasiti teknikal dalam kalangan penyelidik serta pengurus sumber hutan.

Seramai 30 orang peserta telah terlibat, terdiri daripada pegawai Jabatan Hutan Sarawak dari pejabat wilayah Miri, Bintulu, Sibu serta Ibu Pejabat Jabatan Hutan Sarawak, manakala peserta dari UPM terdiri daripada penyelidik, staf dan pelajar siswazah daripada Institut Ekosains Borneo (IEB), Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (IDEC) UPM, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), serta Fakulti Sains Kemanusian, Pengurusan dan Sains (FKPS), UPMS. Kehadiran pelbagai lapisan peserta ini mencerminkan kesungguhan untuk memperkukuh kerjasama rentas disiplin dan institusi dalam bidang pengurusan serta pemantauan sumber hutan secara lestari.
 
Bengkel ini dikendalikan oleh konsultan jemputan daripada Destisar Sdn. Bhd., dengan pengisian enam modul komprehensif yang memberi tumpuan kepada pembangunan pengetahuan teori serta kemahiran praktikal. Antara modul yang dijalankan termasuk penerokaan konsep karbon dan aplikasi Teknologi LiDAR dalam penilaian stok karbon hutan, kaedah reka bentuk plot dan pengumpulan data, latihan penggunaan peralatan canggih seperti DJI Matrice 300 RTK dan GeoSLAM ZEB Horizon, amali lapangan di hutan simpan UPM, serta pemprosesan data dan pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP Development). Pendekatan holistik ini menggabungkan teori, latihan teknikal, dan aplikasi lapangan, sekaligus memberi peluang kepada peserta untuk menguasai alatan berteknologi tinggi dalam bidang penderiaan jauh serta meningkatkan kompetensi dalam pemprosesan data geospatial.
 
Turut hadir dalam bengkel ini adalah Pengarah Institut Ekosains Borneo, Dr. Syeed SaifulAzry Osman Al-Edrus, yang menekankan kepentingan LiDAR sebagai teknologi berimpak tinggi dalam penyelidikan karbon hutan. Menurut beliau, teknologi ini bukan sahaja menyokong usaha pengurusan hutan secara saintifik, malah membuka ruang baharu kepada kolaborasi penyelidikan antara universiti dan agensi kerajaan, khususnya dalam konteks Sarawak yang kaya dengan ekosistem hutan hujan tropika.
 
Bengkel ini turut diselaras oleh Puan Zahora Ismail dari Institut Ekosains Borneo, UPMS dan Dr. Malcom Demies dari Jabatan Hutan Sarawak. Kedua-dua penyelaras memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perjalanan program, penyusunan modul latihan, serta pemantauan keberhasilan pencapaian objektif bengkel.
 
Menurut Puan Zahora Ismail, “Bengkel ini bukan sahaja memperkukuh kapasiti penyelidik dan pelajar dalam menguasai teknologi LiDAR, malah menjadi platform penting untuk membina jalinan kerjasama antara universiti dan agensi kerajaan. Melalui pendedahan ini, peserta dapat memahami dengan lebih mendalam peranan teknologi penderiaan jauh dalam penilaian karbon hutan yang menyokong agenda kelestarian negara.”
 
Sementara itu, Dr. Malcom Demies dari Jabatan Hutan Sarawak menegaskan, “Kerjasama dengan UPMS dalam penganjuran bengkel ini amat bermakna kerana ia menyediakan peluang pembangunan kepakaran teknikal kepada pegawai Jabatan Hutan Sarawak. Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh akan dapat diaplikasikan terus dalam pengurusan hutan, seterusnya memperkukuh usaha negeri Sarawak dalam mitigasi perubahan iklim serta pemeliharaan ekosistem hutan tropika.”
 
Objektif utama bengkel ini adalah untuk membangunkan protokol lapangan bagi penilaian stok karbon hutan menggunakan sistem LiDAR berasaskan UAV, disokong oleh piawaian data geospatial. Selain itu, bengkel ini turut bertujuan memperkasakan kerjasama strategik antara institusi akademik dan agensi kerajaan dalam aspek pembangunan kapasiti teknikal dan penyelidikan. Melalui pendekatan ini, bengkel dijangka dapat menghasilkan satu rangka kerja saintifik yang standard untuk penilaian karbon hutan, sekali gus menyumbang kepada usaha mitigasi perubahan iklim serta pemantauan komitmen negara terhadap agenda pembangunan mampan.
 
Bengkel LiDAR Technology ini telah membuka ruang kepada perkongsian ilmu, pemindahan teknologi, serta pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang pemantauan karbon hutan menggunakan teknologi penderiaan jauh terkini. Penganjur berharap agar hasil daripada bengkel ini dapat dimanfaatkan dalam penyelidikan berterusan serta diaplikasikan secara praktikal dalam pengurusan hutan di Sarawak, selari dengan aspirasi negeri dan negara dalam memperkukuh kelestarian ekosistem serta pengurusan sumber semula jadi.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 19/08/2025 | Updated: 19/08/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (04:37:54pm-04:42:54pm, 14 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]