BINTULU, 2 April 2026 – Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Sri Rajang (KSR), Universiti Putra Malaysia Sarawak telah menganjurkan program “Foodpreneur Discovery: Meneroka Industri Makanan” melalui lawatan industri ke Monanie Family Enterprise, sebuah pusat pemprosesan belacan di Bintulu.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 70 orang pelajar Universiti Putra Malaysia Sarawak bersama pensyarah pengiring sebagai usaha memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai industri pemprosesan makanan tradisional dan aspek keusahawanan.
Sepanjang lawatan, para pelajar berpeluang melihat sendiri proses penghasilan belacan bermula daripada penyediaan bahan mentah, proses pemprosesan, kawalan kualiti sehinggalah kepada pembungkusan produk. Pengalaman ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami secara lebih mendalam aplikasi sebenar teknologi pemprosesan makanan serta kepentingan kawalan kualiti dalam penghasilan produk makanan.
Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada aspek pengurusan perniagaan dan cabaran dalam industri makanan tradisional. Perkongsian ini membuka perspektif baharu kepada pelajar mengenai potensi keusahawanan dalam bidang pemprosesan makanan.
Penasihat Program, Puan Azizah binti Abdul Manaf berkata program seperti ini mampu membuka minda pelajar terhadap peluang dalam bidang keusahawanan makanan. “Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada proses penghasilan makanan, malah membantu pelajar melihat potensi besar dalam bidang keusahawanan yang boleh diceburi pada masa hadapan,” katanya.
Pensyarah Kanan, Dr. Hanisah Kamilah berkata program seperti ini membantu pelajar mengaplikasikan teori pemprosesan makanan yang dipelajari di dalam kelas ke dalam situasi sebenar industri. “Pendedahan secara langsung ini penting dalam membentuk pelajar yang lebih bersedia, berpengetahuan serta berdaya saing dalam industri makanan,” katanya.
Pengasas Monanie Family Enterprise, Puan Razuna Binti Kiprawi berharap agar pelajar berani meneroka bidang keusahawanan makanan dan terus berusaha dengan penuh keyakinan. “Terokalah bidang keusahawanan dan jangan sesekali berputus asa kerana usaha dan keyakinan adalah kunci untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Alif Ashraf bin Razman berkata penganjuran program ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih jelas realiti industri makanan di samping meningkatkan minat dalam bidang keusahawanan.
Program ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pembelajaran berasaskan industri yang mampu melahirkan mahasiswa yang berkemahiran, inovatif serta bersedia menghadapi cabaran dalam sektor pemprosesan makanan dan keusahawanan.
Date of Input: 08/04/2026 |
Updated: 08/04/2026 | lanz
MEDIA SHARING