Bintulu, 24 Julai 2024 - Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah mengadakan Majlis Ikrar dan Aku Janji Pelajar yang dirasmikan oleh Prof Dato' Ahmad Farhan Sadullah, Naib Canselor UPM. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada Pengarah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak, Prof Sharul Razid Sarbini atas kejayaan kampus ini melonjak lebih tinggi sehingga mendapat pengiktirafan dari kerajaan negeri Sarawak.
Dengan motto "Berilmu Berbakti", Prof Dato' Ahmad Farhan menekankan pentingnya setiap warga kampus mempunyai jiwa yang ikhlas untuk berbakti kepada masyarakat. Beliau juga menyentuh mengenai keperluan pelajar untuk menyesuaikan diri, memotivasi diri sendiri, dan beradaptasi dengan persekitaran yang baru.
"Cabaran dan kegagalan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang akan membina kekuatan diri anda," ujar beliau. Statistik menunjukkan bahawa graduan UPM mempunyai kebolehpasaran sebanyak 99.4%, manakala UPMKB mencatatkan 100% kebolehpasaran graduan. Ini adalah bukti komitmen universiti dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan keperluan industri.
Prof Dato' Ahmad Farhan juga mengharapkan ilmu yang diperoleh di UPM dapat melonjakkan sektor pertanian negara, khususnya dalam memastikan keterjaminan makanan. Beliau menyeru setiap pelajar baharu untuk memaksimumkan potensi diri masing-masing dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan negara.
Majlis tersebut dihadiri oleh para pelajar baharu, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, pegawai akademik dan pegawai universiti yang lain. Semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak mencerminkan aspirasi UPMKB untuk terus maju dan cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Date of Input: 25/07/2024 |
Updated: 25/07/2024 | lanz
MEDIA SHARING