Bintulu, 16 Julai 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah mengadakan Majlis Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu bagi Program Diploma dan Persediaan Diploma Sains Semester Pertama Sesi 2025/2026 yang dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, YBhg. Prof. Dato’ Ir. Ahmad Farhan Sadullah.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh warga kampus atas penjenamaan semula kampus tersebut sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), sejajar dengan usaha memperkukuh identiti dan peranan kampus di wilayah Borneo.
Beliau turut menekankan pentingnya pelajar baharu menyesuaikan diri, memupuk motivasi dalaman, serta beradaptasi dengan suasana dan budaya baharu dalam kehidupan kampus. Pelajar juga digalakkan untuk menyemai semangat kesukarelawan melalui penglibatan aktif dalam program Jiwa Putra yang dilaksanakan di universiti.
Dalam konteks peranan universiti dalam pembangunan negara, beliau menyatakan harapan agar ilmu yang diperoleh oleh pelajar dapat dimanfaatkan untuk melonjakkan sektor pertanian negara, khususnya dalam memastikan keterjaminan makanan. Selaras dengan slogan ‘PUTRA’ iaitu Pertanian untuk Rakyat, para pelajar diseru untuk membaca dan menghayati Blueprint Keterjaminan Makanan UPM sebagai langkah awal memahami aspirasi universiti.
Majlis yang berlangsung turut dihadiri oleh barisan Jawatankuasa Pengurusan Universiti, pegawai akademik, serta warga universiti. Sebagai penutup, Prof. Dato’ Ir. Ahmad Farhan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen dan semangat seluruh warga kampus dalam menjayakan agenda UPMS ke arah kecemerlangan.
Date of Input: 18/07/2025 |
Updated: 18/07/2025 | lanz
MEDIA SHARING