Sejumlah 2600 anak pokok yang terdiri pelbagai spesies pokok hutan asli, termasuk pokok buah-buahan tempatan, telah ditanam di Hutan Nirwana UPM Kampus Bintulu Sarawak menggunakan kaedah penanaman berketumpatan tinggi pada 2023 dan 2024. Sepanjang dua tahun, enam acara penanaman pokok melibatkan kira-kira 350 kakitangan dari pelbagai organisasi termasuk Stesen Janakuasa Bintulu, SEB; Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB; Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA); Pejabat Residen Bintulu, dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Bintulu, berjaya dilaksanakan. Acara penanaman pokok secara berkolaborasi ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kelestarian dan menggalakkan budaya tanggungjawab alam sekitar di kalangan peserta, dengan matlamat untuk memberi manfaat kepada generasi akan datang di Bintulu, dan Sarawak secara keseluruhan.
Prof Madya Dr Noorasamah Saupi, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB, menekankan semasa sesi penanaman pokok bahawa matlamat utama acara ini adalah untuk memulihkan dan memelihara ekosistem alam sekitar yang mengalami kemerosotan. Beliau turut menyatakan keunikan program penghijauan sebagai usaha kolaboratif melibatkan pelbagai agensi bagi memastikan program penanaman pokok yang lebih berkesan melalui kepakaran dan pengetahuan yang pelbagai. Tambahan pula, beliau menyebut bahawa kerjasama itu menggalakkan perkongsian sumber, termasuk pembiayaan, peralatan dan pekerja, menjadikan program itu lebih mampan dalam jangkamasa panjang. Beliau sebagai mewakili UPM Kampus Bintulu Sarawak turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Stesen Janakuasa Bintulu, SEB kerana telah menaja sepenuhnya kesemua enam acara penanaman pokok tersebut.
Program ini selaras dengan inisiatif Sarawak menanam 35 juta pokok bagi menyokong kempen 100 juta penanaman pokok (2021-2025) yang dimulakan oleh kerajaan Malaysia. Tiga belas spesies tempatan, termasuk Belian, Engkabang Jantung, Kapur Bukit, Merawan Siput Jantan, Plajau, Lun Barun, Nyatoh, Durian, Terap, Nyekak, Engkelili, Tampoi, dan Keranji, telah ditanam di kawasan terdegradasi di dalam Hutan Simpan Nirwana, UPMKB . Program penghijauan ini bertujuan untuk membantu mengurangkan perubahan iklim dan meningkatkan kapasiti penyimpanan karbon.
Encik Cheling Anak Sapong, Pengurus Besar Gas SEB Power, dalam ucapannya semasa salah satu acara penanaman pokok, menyatakan “Program ini sejajar dengan Kempen Penanaman Pokok Bersepadu 10 – Tahun Sarawak Energy, Perlindungan dan Pemulihan Habitat 2021 hingga 2030. Ia bertujuan untuk membolehkan kaedah yang lebih holistik dan berkesan untuk usaha pemulihan dan pemuliharaan ekosistem yang terdegradasi”. Beliau menambah, “Semoga kerjasama program penanaman pokok ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi mencapai matlamat bersama untuk menambahbaik alam sekitar”.
Penghasilan hutan buatan manusia melalui kaedah penanaman pokok boleh membaikpulih kawasan yang terdegradasi, dan usaha yang dilaburkan untuk memulihkan kawasan ini adalah berbaloi. Menanam pokok bukanlah penyelesaian yang kukuh untuk mengatasi perubahan iklim, namun ia adalah salah satu pendekatan terbaik yang ada untuk memperbaiki keadaan semasa dalam tempoh 10 tahun akan datang. En Wan Shahril Wan Abdul Kadir dari Stesen Janakuasa Bintulu, dan Profesor Madya Dr Geoffery James Gerusu dari UPMKB bersama-sama menyelaras kesemua enam acara penanaman pokok dari 2023 hingga 2024.







Date of Input: 15/08/2024 | Updated: 19/08/2024 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia