BINTULU, 7 Mac – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menganjurkan Program Sambutan Nuzul Al-Quran dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Naib Canselor UPM 2026 yang berlangsung di Pusat Islam UPM Sarawak baru-baru ini.
Kehadiran Naib Canselor UPM telah menyerikan program tersebut apabila beliau turut meluangkan masa berbuka puasa dan bertarawih di Pusat Islam UPM Sarawak serta beramah mesra bersama warga kampus dalam suasana Ramadan yang penuh ukhuwah. Program yang diadakan bersempena bulan Ramadan ini bertujuan menyemarakkan penghayatan terhadap peristiwa Nuzul Al-Quran di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga universiti dan pelajar.
Antara pengisian program adalah Ceramah Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Awang Fakrulrizan Awang Madohi, Pegawai Hal Ehwal Islam dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu. Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada WAZAN kepada pelajar asnaf sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajar yang memerlukan. Selain itu, program turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk yang dikendalikan oleh Kolej Sri Rajang. Aktiviti tersebut mendapat penglibatan aktif para pelajar dan menjadi simbol semangat kebersamaan serta kerjasama dalam menyemarakkan suasana Ramadan di universiti.
Majlis diakhiri dengan aktivit moreh bersama pelajar UPMS yang turut dikendalikan oleh Kolej Sri Rajang. Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu; Pengarah UPM Sarawak, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini; Pengarah Pusat Islam UPM, Ustaz Zuhaimi Abdul Rahim serta jemputan daripada pelbagai agensi luar, staf dan pelajar universiti.
Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga universiti di samping memanfaatkan bulan Ramadan sebagai ruang untuk meningkatkan amal ibadah serta mempereratkan kebersamaan dalam komuniti kampus.
Date of Input: 06/04/2026 |
Updated: 06/04/2026 | lanz
MEDIA SHARING