BINTULU, 12 Disember 2025 – Pasukan Biru (Lepidoptera) muncul Juara Keseluruhan Kejohanan Sukan Staf UPM 2025 (SUSTAF) peringkat Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) yang berlangsung dari 17 hingga 29 November 2025.
Kejayaan cemerlang itu dicapai selepas Pasukan Biru bangkit dengan prestasi luar biasa dalam acara olahraga, sekali gus mempamerkan kebangkitan mantap ‘comeback stronger’ sepanjang kejohanan tersebut.
Tempat kedua diraih Pasukan Hijau (Orthoptera), diikuti Pasukan Kuning (Hymenoptera) di tempat ketiga, manakala Pasukan Merah (Coleoptera) menutup saingan di tempat keempat.
SUSTAF UPMS 2025 menghimpunkan warga kerja UPMS daripada pelbagai jabatan, pusat dan bahagian yang dibahagikan kepada empat pasukan sukan. Penganjuran ini bukan sahaja mengasah bakat dan potensi dalam arena sukan, malah menjadi platform untuk memupuk budaya kerja berpasukan, menguatkan hubungan silaturrahim, serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan staf.
Penganjuran sukan ini juga menjadi pemangkin kepada pembentukan persekitaran kerja lebih harmoni, sekali gus memperkukuh perpaduan pelbagai kaum dalam kalangan warga UPMS.
Majlis Penutupan SUSTAF UPMS 2025 telah disempurnakan oleh Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), YBhg. Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini, bersama Ketua Pentadbiran UPMS, YBrs. En. Noor Hakim Ahmad, serta barisan ahli Pengurusan Universiti, UPMS yang lain.
Pengarah UPMS juga turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penganjur serta barisan sukarelawan yang telah menjayakan SUSTAF 2025 ini. Diharapkan penganjuran seumpama ini terus menjadi pemangkin kepada kecergasan fizikal, kesejahteraan mental serta semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan warga universiti.
Date of Input: 15/12/2025 |
Updated: 15/12/2025 | lanz
MEDIA SHARING