BINTULU, 6 Mac – Seramai 158 pelajar daripada Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan (JSSP), Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) mempamerkan kreativiti, daya tahan serta semangat keusahawanan melalui penganjuran Karnival Keusahawanan Pelajar, yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kursus MGM2184 Projek Keusahawanan dan FEM2204 Pembangunan Keusahawanan semester 2 sesi 2025/2026.
Karnival tersebut menampilkan lebih 20 gerai jualan yang diuruskan sepenuhnya oleh pelajar dengan menawarkan pelbagai produk inovatif seperti makanan dan minuman, kraftangan, aksesori serta barangan kreatif hasil idea dan usaha pelajar sendiri.
Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman sebenar menjalankan perniagaan, termasuk aspek pembangunan produk, strategi pemasaran, interaksi pelanggan serta pengurusan kewangan.
Walaupun dianjurkan dalam bulan Ramadan, para pelajar tetap menunjukkan komitmen tinggi, kesungguhan serta semangat kerjasama dalam memastikan setiap gerai dapat beroperasi dengan baik sepanjang program berlangsung.
Menurut penyelaras program, Dr. Sharon Ong Yong Yee dari JSSP, FKPS, karnival ini merupakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang penting dalam membentuk keyakinan diri, kemahiran menyelesaikan masalah serta pemikiran keusahawanan dalam kalangan pelajar.
“Melalui program ini, pelajar bukan sahaja mempelajari teori di dalam kelas, malah berpeluang menghadapi cabaran sebenar dalam dunia perniagaan. Pengalaman ini membantu mereka membina daya tahan, kreativiti serta semangat kerjasama,” katanya.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada barisan juri jemputan yang terdiri daripada pensyarah kanan dan guru bahasa dari UPMS serta wakil daripada Kelab Belia Perkasa Taman Marina atas kesudian meluangkan masa menilai idea perniagaan pelajar serta memberi sokongan kepada para peserta sepanjang karnival berlangsung.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pelajar serta pihak yang membantu menjayakan program ini, sekali gus mencerminkan komitmen UPMS dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan berpotensi menjadi usahawan masa depan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.












Date of Input: 09/03/2026 | Updated: 09/03/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia