BINTULU, 27 Jun – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus memperkukuh komitmennya dalam melaksanakan tanggungjawab sosial universiti menerusi pelaksanaan tiga program pemindahan ilmu dan pembangunan komuniti yang telah berlangsung di Rh. Jungan anak Mitoh, Bintulu, Sarawak.
Bagi memperkukuh agenda pemerkasaan pendidikan komuniti, Program English Empowerment & STEM Literacy Komuniti Rh. Jungan 2026 Fasa 2 yang diketuai oleh Tn. Hj. Fakhzan Hj. Buang telah menghimpunkan penyertaan seramai 30 orang murid sekolah rendah. Program yang telah masuk ke fasa kedua ini turut memberi penekanan kepada pembelajaran Bahasa Inggeris dan STEM melalui pelaksanaan aktiviti interaktif dan berpusatkan murid yang mampu meningkatkan minat, keyakinan dan penglibatan aktif murid dalam proses pembelajaran di sekolah.
Program Pembangunan Sistem Ternakan Ikan dan Tanaman Secara Integrasi Akuaponik Komuniti Rh. Jungan yang dikendalikan oleh Dr. Nora Faten Afifah Mohamad telah memperkenalkan konsep dan pengoperasian sistem akuaponik sebagai pendekatan pertanian moden yang mampan. Keseluruhan program mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah memperkukuh peranan universiti sebagai sebuah institusi yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui penyatuan ilmu, penyelidikan dan khidmat komuniti.
Sementara itu turut diadakan, Program Kursus Asas Penulisan Kertas Kerja yang dikendalikan oleh Dr. Anita Rosli telah disertai oleh 20 orang Ahli Jawatankuasa Pengurusan Rh. Jungan. Kursus ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai penyediaan kertas kerja yang sistematik dan berkualiti serta memperkukuh kemahiran asas dalam pentadbiran organisasi.
Pelaksanaan pelbagai program ini mampu direalisasikan hasil sumbangan YB Dato' Sri Tiong King Sing, Ahli Parlimen P217 Bintulu melalui Geran Minor Rural Project yang mencerminkan kepentingan kerjasama strategik antara pelbagai pihak dalam memastikan program pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan.
Inisiatif ini membuktikan keupayaan UPMS dalam menyalurkan kepakaran akademik kepada masyarakat secara berkesan, sejajar dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjadi sebuah universiti berprestij antarabangsa yang memberi impak kepada pembangunan komuniti dan kesejahteraan masyarakat.
Date of Input: 02/07/2026 |
Updated: 02/07/2026 | lanz
MEDIA SHARING