PENGALAMAN LAWATAN INDUSTRI DI SEDC NUTRECO SDN. BHD. SERLAHKAN POTENSI BESAR PELAJAR DIPLOMA KESIHATAN HAIWAN DAN PETERNAKAN, UPMS DALAM PEMPROSESAN MAKANAN TERNAKAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » PENGALAMAN LAWATAN INDUSTRI DI SEDC NUTRECO SDN. BHD. SERLAHKAN POTENSI BESAR PELAJAR DIPLOMA KESIHATAN HAIWAN DAN PETERNAKAN, UPMS DALAM PEMPROSESAN MAKANAN TERNAKAN

PENGALAMAN LAWATAN INDUSTRI DI SEDC NUTRECO SDN. BHD. SERLAHKAN POTENSI BESAR PELAJAR DIPLOMA KESIHATAN HAIWAN DAN PETERNAKAN, UPMS DALAM PEMPROSESAN MAKANAN TERNAKAN

SIBU, SARAWAK – Pengalaman pembelajaran dalam situasi sebenar industri terus menjadi pendekatan penting dalam memperkukuh kompetensi pelajar, khususnya dalam bidang kesihatan haiwan dan peternakan. Sehubungan itu, seramai 35 pelajar Diploma Semester 4 daripada Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah mengadakan lawatan industri ke SEDC Nutreco Sdn. Bhd. di Sibu baru-baru ini.
 
Kursus AHP2402 Teknologi Makanan Ternakan menekankan prinsip formulasi, pemprosesan, kawalan kualiti, penyimpanan dan keselamatan makanan ternakan, dan sejajar dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, lawatan amali ke SEDC Nutreco Sdn. Bhd. sebuah syarikat pengeluar makanan ternakan utama di Sarawak memberi peluang kepada pelajar memahami secara langsung keseluruhan rantaian pengeluaran makanan ternakan komersial, bermula daripada pemilihan bahan mentah, formulasi nutrisi, proses pengilangan hingga kawalan kualiti produk selaras dengan keperluan kompetensi graduan dan kehendak pasaran kerja.
 
Selain itu, sesi taklimat yang dikendalikan oleh pihak industri Encik Darrell Nadeng Dominic turut memberi gambaran menyeluruh mengenai cabaran semasa dalam industri makanan ternakan, termasuk isu peningkatan kos bahan mentah, serta kepentingan penerokaan bahan alternatif tempatan yang lebih mampan. Sepanjang lawatan, pelajar turut berpeluang mengikuti sesi praktikal yang dikendalikan oleh Encik Yusri Azman berkaitan kaedah penggunaan bahan mentah serta peralatan pemprosesan makanan ternakan, sekali gus memberikan gambaran yang lebih realistik tentang dinamika industri dan keperluan kemahiran yang perlu dikuasai oleh bakal graduan.
 
Pensyarah pengiring Dr. Masnindah Malahubban merupakan tenaga pengajar bagi kursus Teknologi Makanan Ternakan (AHP2402) dan Ketua Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan (JSHP), Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, menyatakan bahawa pendedahan seperti ini amat penting dalam membantu pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Pengeluaran (DKHP) memahami potensi sebenar industri pemprosesan makanan ternakan sebagai sektor yang semakin berkembang di Sarawak, selaras dengan peningkatan aktiviti penternakan dan keperluan terhadap sumber makanan ternakan berkualiti. Menurut beliau, industri makanan ternakan di Sarawak masih mempunyai ruang yang luas untuk diperkukuh, khususnya dari segi pengurangan kebergantungan terhadap bahan mentah import, penggunaan teknologi pemprosesan moden serta peningkatan bahan aditif semulajadi dan piawaian kawalan kualiti bagi menyokong produktiviti sektor penternakan tempatan.
 
Dalam konteks ini, pelajar DKHP mempunyai potensi besar untuk menjadi tenaga kerja mahir yang kompeten, bukan sahaja dalam aspek teknikal pemprosesan dan pengurusan makanan ternakan, malah berupaya meneroka peluang keusahawanan serta inovasi dalam rantaian industri tersebut. Sehubungan itu, keterbukaan pihak SEDC Nutreco Sdn. Bhd. dalam menerima kunjungan pelajar serta kesediaan mereka berkongsi pengalaman operasi sebenar telah memberikan nilai tambah yang signifikan kepada proses pembelajaran, khususnya dalam memperkasa pemahaman pelajar terhadap aspek teknikal, pengurusan operasi dan peluang kerjaya dalam industri ini. Lawatan ini turut disertai oleh Penolong Pegawai Sains, Puan Murin Anak Balang dan Encik Muhammad Hafiy bin Yusoff, yang juga memperoleh inspirasi serta pengalaman industri yang bermakna melalui penyertaan tersebut.
 
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SEDC Nutreco Sdn. Bhd., khususnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Ts. Herman Hadafi bin Mohamad, atas kesudian menerima kunjungan pelajar serta berkongsi kepakaran dalam bidang pemprosesan dan kawalan kualiti makanan ternakan. Program ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk meneroka potensi besar industri makanan ternakan sebagai sektor yang berdaya saing. Di samping itu, program ini juga berperanan memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara universiti dan industri dalam menyokong pembangunan mampan sektor penternakan di Sarawak.

 
 
 
 

 

Date of Input: 08/04/2026 | Updated: 08/04/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (04:46:24pm-04:51:24pm, 14 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]