PENGANJURAN SULUNG MAJLIS ANUGERAH PENGARAH UPM SARAWAK, IKTIRAF KECEMERLANGAN MAHASISWA HOLISTIK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK 127
» NEWS » PENGANJURAN SULUNG MAJLIS ANUGERAH PENGARAH UPM SARAWAK, IKTIRAF KECEMERLANGAN MAHASISWA HOLISTIK

PENGANJURAN SULUNG MAJLIS ANUGERAH PENGARAH UPM SARAWAK, IKTIRAF KECEMERLANGAN MAHASISWA HOLISTIK

Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) melakar sejarah apabila buat julung kalinya berjaya menganjurkan Majlis Anugerah Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (MAPUPMS) bagi Sesi Akademik 2025/2026, yang menjadi platform pengiktirafan kecemerlangan mahasiswa dalam pelbagai bidang merangkumi kepimpinan, akademik, pembangunan sosial dan kesukarelawanan.
 
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah UPMS. Beliau berkata program ini adalah merupakan penghargaan UPMS terhadap usaha, penat dan lelah pelajar dalam membantu meningkatkan keterlihatan UPMS dan secara tidak langsung membantu dalam melakar kejayaan dan pencapaian UPMS pada hari ini. “Saya harap anugerah sebegini boleh menjadi motivasi kepada pelajar yang lain,” tambah beliau.
 
“Sebanyak 15 anugerah secara keseluruhannya dipertandingkan pada edisi kali ini. Penganjuran anugerah ini membolehkan Pejabat Pengurusan Pelajar (PPL), UPMS mencari calon yang mempunyai prestasi tinggi untuk dicalonkan mewakili UPMS dalam Anugerah Naib Canselor UPM yang akan diadakan dalam masa terdekat kelak,” ujar Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir, Pejabat Pengurusan Pelajar (PPL), UPMS.
 
“Secara umumnya pemenang bagi setiap anugerah ini dinilai berdasarkan rubrik penilaian yang telah ditetapkan. Ianya termasuklah elemen kepimpinan pelajar, pencapaian akademik, penyertaan aktif pelajar dalam pelbagai bidang serta sumbangan dalam pembangunan mahasiswa universiti.” Ujar En. Arif Ibrahim, Pengarah Program MAPUPMS.
 
Saudari Sarah Hanani binti Ahmad Fikri mencuri tumpuan majlis setelah merangkul dua (2) anugerah iaitu Anugerah Kepimpinan Umum dan Anugerah Kepimpinan Pengucapan Awam yang seterusnya menobatkan beliau sebagai penerima Anugerah Ikon Siswa UPMS.
 
Dalam kategori organisasi pelajar, Kelab Santi D'Wangsa Putra telah diumumkan sebagai Kelab/Persatuan/Sekretariat Terbaik, manakala Program Citra Tari Nusantara 2026 telah merangkul Anugerah Program Terbaik atas penganjuran berimpak tinggi yang menonjolkan elemen seni, budaya dan penglibatan mahasiswa secara menyeluruh di peringkat antarabangsa.
 
Majlis turut merangkumi pengiktirafan dalam Kluster Kepimpinan Pelajar, Kluster Pembangunan Sosial, Kluster Pembangunan Akademik dan Intelektual serta Kluster Kesukarelawanan yang mencerminkan kepelbagaian bakat serta pencapaian mahasiswa UPMS.
 
Penganjuran sulung ini mencerminkan komitmen berterusan UPMS dalam memperkasa pembangunan mahasiswa holistik yang berdaya saing, berilmu serta memiliki nilai kepimpinan dan jati diri yang tinggi selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 21/04/2026 | Updated: 21/04/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (04:00:45am-04:05:45am, 06 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]