BINTULU, 27 Julai – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Sri Jailani Johari mengadakan lawatan kerja rasmi ke Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) bagi meninjau perkembangan kampus, memperkukuh agenda strategik universiti serta menyantuni barisan pengurusan dan pelajar baharu.
Lawatan dimulakan dengan sesi perjumpaan bersama Ahli Pengurusan UPMS di Bilik Mesyuarat Utama, Ruai Sri Meranti yang turut menjadi platform membincangkan hala tuju strategik kampus serta usaha memperkasakan kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi, tadbir urus dan pembangunan infrastruktur.
Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini dalam taklimatnya membentangkan perkembangan semasa kampus, pencapaian serta pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi memperkukuh peranan UPMS sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan di Sarawak.
Dalam sesi itu, Dato’ Sri Jailani menzahirkan penghargaan kepada barisan pengurusan atas komitmen dalam memacu pembangunan universiti.
Beliau turut menegaskan bahawa tadbir urus yang cekap, budaya kerja berprestasi tinggi dan kerjasama erat antara kepimpinan universiti serta warga kampus merupakan asas penting dalam memastikan UPM terus kekal relevan, mampan dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.
“UPMS mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi dan penyelidikan di Borneo. Dengan tadbir urus yang mantap, budaya kerja berprestasi tinggi serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti saya yakin UPMS mampu melahirkan graduan berkualiti, memperkukuh impak penyelidikan dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan Sarawak serta negara,” katanya.
Pada sebelah malam, beliau turut menyampaikan Amanat Pengerusi Lembaga Pengarah UPM kepada pelajar baharu Ambilan Diploma dan Pra Diploma Sains Sesi Akademik 2026/2027 sebagai simbolik permulaan perjalanan mereka sebagai warga universiti.
Dalam amanat tersebut, Dato’ Sri Jailani menyeru pelajar agar mengejar kecemerlangan akademik seiring pembentukan sahsiah, integriti dan kepimpinan, di samping memanfaatkan sepenuhnya peluang pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan diri yang disediakan universiti.
“Perjalanan anda di UPM bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik, tetapi membentuk sahsiah, integriti dan kepimpinan. Manfaatkan setiap peluang yang disediakan universiti untuk membina potensi diri, kerana graduan yang cemerlang ialah mereka yang mampu memberi nilai kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, lawatan kerja itu mencerminkan komitmen berterusan Lembaga Pengarah UPM dalam mendekati warga kampus, menilai pelaksanaan agenda strategik universiti serta memastikan pembangunan UPMS terus diperkasakan selaras dengan aspirasi UPM sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf global.
Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah UPM (Wakil Alumni), Tn. Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu serta barisan Ahli Pengurusan UPMS.
Date of Input: 01/08/2026 |
Updated: 01/08/2026 | lanz
MEDIA SHARING