BINTULU, 28 Julai – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Sri Jailani Johari, menegaskan komitmen universiti untuk terus memastikan kebajikan, pengalaman pembelajaran dan pembangunan holistik pelajar kekal menjadi keutamaan menerusi lawatan kerja rasmi beliau ke Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Lawatan itu memberi peluang kepada beliau meninjau sendiri kemudahan akademik serta berinteraksi secara langsung dengan warga kampus, khususnya pelajar yang baharu memulakan pengajian bagi Sesi Akademik 2026/2027.
Beliau melawat Makmal Veterinar UPMS bagi melihat pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran serta mendengar penerangan mengenai kemudahan makmal dan pendekatan latihan amali yang digunakan dalam melahirkan graduan veterinar yang kompeten, berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri.
Menurut Dato’ Sri Jailani, kekuatan sesebuah universiti bukan sahaja diukur melalui kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah turut bergantung kepada keupayaannya menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh kepada pelajar.
“UPM sentiasa komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, kemudahan yang berkualiti serta ekosistem kampus yang menyokong pembangunan potensi setiap pelajar. Pelajar perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan agar mereka mampu muncul sebagai graduan yang berilmu, berdaya saing dan mempunyai nilai kepimpinan,” katanya.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar di Medan Selera UPMS, bertanya khabar serta mendengar sendiri pandangan dan pengalaman mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.
Katanya, maklum balas secara langsung daripada pelajar amat penting bagi membantu universiti terus menambah baik penyampaian perkhidmatan dan pengalaman kampus. “Interaksi bersama pelajar membolehkan pihak universiti memahami keperluan sebenar mereka.
Pandangan yang dikongsi akan menjadi input penting dalam usaha memperkukuh ekosistem pembelajaran dan kebajikan mahasiswa di UPM,” katanya. Dalam pada itu, lawatan tersebut mencerminkan pendekatan kepimpinan universiti yang mengutamakan keterlibatan bersama warga kampus dalam memastikan UPM terus menawarkan pengalaman pembelajaran yang berkualiti serta memenuhi aspirasi pendidikan tinggi negara.
Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah UPM (Wakil Alumni), Tn. Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu, Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset UPM, Ir. Dr. Maznah Sahran serta barisan Ahli Pengurusan UPMS.
Date of Input: 01/08/2026 |
Updated: 01/08/2026 | lanz
MEDIA SHARING