PENYELIDIK UPM SARAWAK (UPMS) TERIMA GERAN PENYELIDIKAN DARIPADA ABLE PERFECT SDN. BHD (APSB) UNTUK PEMBANGUNAN DIESEL HIJAU DAN BAHAN API PENERBANGAN MAMPAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » PENYELIDIK UPM SARAWAK (UPMS) TERIMA GERAN PENYELIDIKAN DARIPADA ABLE PERFECT SDN. BHD (APSB) UNTUK PEMBANGUNAN DIESEL HIJAU DAN BAHAN API PENERBANGAN MAMPAN

PENYELIDIK UPM SARAWAK (UPMS) TERIMA GERAN PENYELIDIKAN DARIPADA ABLE PERFECT SDN. BHD (APSB) UNTUK PEMBANGUNAN DIESEL HIJAU DAN BAHAN API PENERBANGAN MAMPAN

SERDANG, 28 Ogos 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMS hari ini menerima geran penyelidikan daripada syarikat industri, Able Perfect Sdn. Bhd. (APSB) bagi melaksanakan projek pembangunan diesel hijau dan bahan api penerbangan mampan daripada sumber boleh diperbaharui, mesra alam.
 
Majlis penyerahan geran penyelidikan dan pertukaran Memorandum Persetujuaan (MoA) diadakan di Bilik Eksekutif, Pejabat Naib Canselor, UPM dan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, YBhg. Prof. Dr. Zamberi Sekawi bersama wakil pengurusan tertinggi APSB.
 
Projek selama dua tahun ini bertujuan meningkatkan skala penghasilan pemangkin heterogen berprestasi tinggi jenis Ni/P-MIL-101 untuk menukar Palm Fatty Acid Distillate iaitu satu hasil sampingan daripada proses penapisan minyak sawit mentah serta pelbagai bahan buangan asid lemak kepada diesel hijau dan bahan api penerbangan mampan melalui kaedah hidrodeoksigenasi (HDO). Usaha ini menyokong agenda negara dalam memperkukuhkan sektor tenaga lestari, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik), SDG 9 (Inovasi dan Infrastruktur), dan SDG 13 (Tindakan Terhadap Iklim).
 
Naib Canselor UPM menyatakan sokongan penuh terhadap projek ini kerana manfaatnya yang besar kepada negara, serta menegaskan komitmen UPM untuk menerangkan potensi teknologi ini kepada pihak berkepentingan. Wakil APSB pula berkongsi visi syarikat untuk meneroka potensi tenaga boleh diperbaharui dan penghasilan biofuel dalam sektor sawit. Ketua projek, Dr. Sivasangar Seenivasagam dari UPMS, merakamkan penghargaan kepada rakan industri atas sokongan mereka terhadap kajian ini dan menegaskan bahawa kejayaan projek ini juga mencerminkan sokongan berterusan UPM terhadap penyelidikan beliau.
 
Menurutnya, penglibatan UPM Sarawak dalam projek ini menjadi bukti keupayaan dalam menjalin kerjasama strategik bersama industri untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang menyumbang kepada kelestarian negara. Bahan api penerbangan mampan yang dihasilkan melalui projek ini bakal menjadi penyelesaian jangka sederhana untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor penerbangan. Dengan permintaan bahan api penerbangan hijau yang semakin meningkat, projek ini berpotensi memberi impak besar kepada kelestarian alam sekitar dan daya saing ekonomi negara.
 
Kerjasama antara UPM dan APSB ini membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam mengangkat teknologi tenaga boleh diperbaharui tempatan ke tahap lebih tinggi, seterusnya menyumbang kepada matlamat negara untuk menjadi peneraju inovasi hijau di rantau ini. Turut serta dalam majlis ini adalah Prof. Madya Ts. Dr. Wong Tze Jin, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan, dan Sains UPMS serta Encik Ahmad Farid Kamurudin, Naib Presiden, Able Perfect Sdn Bhd.
 
 
 

 

Date of Input: 29/08/2025 | Updated: 29/08/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (10:57:16pm-11:02:16pm, 12 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]