Bintulu, 13 Februari 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan Perutusan dan Amanat Naib Canselor bagi tahun 2026 yang disampaikan oleh YBhg. Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah di Dewan Sri Kenyalang, UPM Sarawak. Perutusan ini bertemakan “Kelangsungan True North Melonjak ke Puncak” memberi penekanan kepada usaha berterusan memperkukuh halatuju strategik universiti dengan berpaksikan nilai teras, tadbir urus yang cekap serta kecemerlangan akademik dan penyelidikan.
Dalam amanatnya, Naib Canselor menuntut seluruh warga universiti untuk kekal teguh dengan halatuju yang telah digariskan, sambil memperhebat usaha melonjakkan pencapaian ke tahap yang lebih tinggi. Beliau turut menggariskan 5 Fokus dan 6 Pemboleh Daya UPM 2026 iaitu:
5 Fokus
1. Pertanian dan Keterjaminan Makanan
2. Kesihatan Planet dan Kelestarian
3. Kesohoran Global
4. Kesejahteraan Warga
5. Jiwa Putra
6 Pemboleh Daya UPM 2026:
1. AI dan pendigitalan menjadi pemangkin
2. Kelestarian kewangan
3. Tadbir urus yang jelas, bersepadu dan berakauntabiliti
4. Penjenamaan dan komunikasi strategik
5. Ekosistem data bersepadu
6. Rakan alumni
Perutusan ini telah mendapat sambutan yang baik daripada warga UPMS yang hadir bagi mendapatkan pencerahan mengenai hala tuju universiti pada tahun ini. Berpaksikan semangat “Berilmu Berbakti” universiti akan terus memperkukuh reputasi dan kecemerlangan selaras dengan tanggungjawabnya kepada negara dan masyarakat global.
Pada majlis itu juga turut diadakan Pelancaran Projek Pertanian Putra: Ternakan Udang Kara Air Tawar@KSR, Penyerahan Mock Cheque Sumbangan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM berjumlah RM87,220.00 bagi menyokong aktiviti Pusat Islam UPMS, serta Apresiasi Perkhidmatan Persaraan staf UPMS.
Sejurus selesai program tersebut, Naib Canselor turut menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Islam UPMS bertajuk “Ramadan Dirai, Ketakwaan Diperolehi”. Beliau menekankan bahawa Ramadan melatih umat Islam untuk memperkukuh keikhlasan dalam setiap amalan menyebarkan rahmah sesama insan serta mengatur masa dengan bijak bagi memperbanyakkan amal soleh. Ketakwaan yang dibina sepanjang bulan yang mulia ini hendaklah diterjemahkan dalam bentuk akhlak terpuji, disiplin diri dan kesungguhan beramal demi mencapai kejayaan hakiki di sisi Allah SWT.