BINTULU, 19 Oktober – Suara-suara muda harus didengar dan diambil kira dalam merangka dasar-dasar pembangunan yang lebih inklusif dan mampan di wilayah Malaysia Timur dan bagi merealisasikan hasrat, platform seumpama festival pengucapan awam wajar dijadikan antara platform yang terbaik. Selaras dengan hasrat ini, Pesta Bakat Orator (PBO) Tahun 2025 Edisi Ke-2 yang dianjurkan oleh pelajar Kursus QKT2101 Seni Penghujahan Semester 1 Sesi Akademik 2025/2026 yang memasuki edisi kedua telah berjaya dianjurkan dengan meriah selama dua hari, bermula pada 18 hingga 19 Oktober 2025, Sabtu dan Ahad.
Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Noorasmah binti Saupi, Dekan Fakulti Sains Pertanian Dan Perhutanan mewakili Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak yang hadir pada Ahad jelas menyatakan dalam ucapan perasmiannya bahawa “Program seperti ini jelasnya telah memberi ruang kepada belia untuk menyuarakan pandangan mereka dengan penuh keyakinan dan matang disulam dengan bakat mempersembahkannya dengan berkesan”. Tambahnya lagi, “Pada hemat saya inisiatif seperti ini perlu diteruskan dan diperkembangkan lagi”, kenyataan yang jelas menggalakkan platform seumpamanya untuk dijayakan dengan lebih banyak lagi.
Berbanding edisi sulung tahun 2024, edisi kali ini menampilkan dua pengisian baharu yang merangkumi Pertandingan Forum Suara Borneo antara Sekolah Menengah dan IPT, Pertandingan Pidato Borneo Cilik Antara Sekolah-Sekolah Rendah, Pertandingan Monolog Ekspresi antara Sekolah Menengah dan IPT selaku pertandingan baharu, Sesi Perkongsian Borak Bakat Orator dan juga Sesi Debat Demonstrasi Debat Belia Borneo yang turut menjadi pengisian baharu.
Sesi debat yang berlangsung meriah disaksikan hampir 200 orang penonton termasuklah kumpulan ibu bapa pelajar telah mempertemukan pasukan Universiti Putra Malaysia Sarawak selaku Kerajaan dan SMK Baru Bintulu selaku Pembangkang dengan usul, “Dewan Ini Percaya Budaya "Fear of Missing Out” atau FOMO Membebankan Belia dalam Menggerakkan Aspirasi Negara”.
PBO 2025 berjaya mengumpulkan 40 peserta forum, 6 peserta monolog dan 16 peserta pidato dengan sebahagian besar penyertaan daripada belia negeri Sarawak dan Sabah. Majlis penutupan dihadiri oleh hampir 200 orang penonton menyaksikan pasukan Politeknik Kuching muncul sebagai Juara Pertandingan Forum Suara Borneo manakala Saudara Mohamad Danish Ashyahir bin Bolhassan (Politeknik Kuching Sarawak) muncul selaku pemenang Anugerah Panel Terbaik serta Saudara Aiman Hazim bin Saiful Nizam (Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak Sarawak) telah diangkat sebagai pemenang Anugerah Pengerusi Terbaik.
Naib Juara dan Tempat Ketiga masing-masing disandang oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya Sabah dan juga Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak Sarawak. Adik Norhayati Binti Abdullah dari SK Sri Simalajau dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Pidato Borneo Cilik manakala Saudari Jacklyn Anyi dari Politeknik Kuching Sarawak muncul sebagai Juara sulung bagi Pertandingan Monolog Ekspresi Belia.
Berlandaskan tema “Belia dalam Aspirasi Pembangunan Fizikal dan Masyarakat Wilayah Tempatan” dengan slogan “Memperkasa Suara Belia Memenuhi Aspirasi Borneo”, Encik Abdullah bin Nudin, selaku Penasihat Program menyatakan bahawa teman dan slogan ini dipilih selaras dengan peranan belia yang semakin hari semakin mustahak dalam menentukan hala tuju masa depan wilayah malah negara dan melalui platform seperti ini, persiapan kita dalam menyediakan modal insan yang boleh mengupas isu dengan intelektual dan berkarisan adalah amat diperlukan.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas ekosistem sokongan yang terjalin melalui program ini daripada pelbagai pihak termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, Lembaga Pelabuhan Bintulu, Pusat Khidmat N68 Tanjong Batu, R2R Solutions Sdn Bhd, Business Events Sarawak, Unit Komunikasi Awam Sarawak, IPT-IPT dan sekolah-sekolah seantero wilayah Malaysia Timur.
Antara yang hadir memeriahkan majlis ialah Encik Razmin Abdul Razak, Pengarah R2R Solutions Sdn Bhd yang juga merupakan antara penaja program dan Encik Necco Lim, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid yang diiring oleh Saudara Muhammad Danial Adlizzat Sharil Izam dan Saudari Nur Qistina binti Yahya selaku Pengarah Program dan Timbalan Pengarah Program Pesta Bakat Orator (PBO) Tahun 2025 Edisi Ke-2.
Date of Input: 22/10/2025 |
Updated: 22/10/2025 | lanz
MEDIA SHARING