Bintulu - Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) 2025 atau PesKon 2025 yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 2 November di Tapak Pesta Konvokesyen, Padang UPM Sarawak, telah mencipta suasana penuh meriah dan bermakna sempena sambutan Majlis Konvokesyen UPM ke-49 (Sidang 1) baru-baru ini.
Dianjurkan di bawah pimpinan Pengarah Peskon2025 Saudara Muhammad Hafidz Danial, PesKon 2025 berjaya menghimpunkan pelbagai kelab akademik dan bukan akademik yang tampil dengan pelbagai aktiviti menarik bagi meraikan para graduan serta seluruh warga kampus.
Antara acara yang mendapat sambutan hangat ialah Dance Battle: Do the Dance, Malam Kebudayaan dan Kesenian, Pertandingan Bintang Kecil, Rumah Hantu, Pet Xperience, dan Hari Rekreasi Rimbawan masing-masing menonjolkan kreativiti, bakat serta semangat perpaduan dalam kalangan pelajar UPM Sarawak.
PesKon 2025 turut diserikan dengan penampilan istimewa artis jemputan popular, Wany Hasrita, yang memukau penonton dengan persembahan penuh bertenaga dan mesra peminat.
Dalam pada itu, penghargaan khas turut disampaikan kepada Yang Berhormat Dato’ Majang Anak Renggi, ADUN N.70 Samalaju, atas tajaan dan sokongan padu terhadap penganjuran pesta ini. Turut diraikan ialah YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah UPM Sarawak, dan YBrs. Encik Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar, yang turut memeriahkan suasana pesta dengan kehadiran serta sokongan mereka.
PesKon 2025 bukan sekadar platform hiburan, tetapi juga wadah memperkukuh ukhuwah, semangat kebersamaan dan jati diri pelajar, selaras dengan aspirasi UPM Sarawak untuk melahirkan graduan yang berilmu, berbakti dan berjiwa masyarakat.
Date of Input: 18/11/2025 |
Updated: 18/11/2025 | lanz
MEDIA SHARING