BINTULU, 22 Mac - Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) terus mengorak langkah dalam memperkasa kemahiran komunikasi dan penerbitan kandungan digital dalam kalangan mahasiswa menerusi inisiatif Podcast Borak Moreh @ UPMKB Tahun 2025. Platform ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah bakat dalam seni penghujahan, tetapi turut menjadi medium refleksi diri sepanjang bulan Ramadan. Program ini berlangsung dari 17 hingga 20 Mac serta 22 Mac 2025, menghimpunkan perbincangan yang bermakna dalam suasana santai tetapi penuh nilai ilmiah.
Podcast ini merupakan hasil kreativiti mahasiswa yang mengikuti Kursus QKT2101 Seni Penghujahan di bawah Kursus Kokurikulum Berkredit UPMKB. Dengan bimbingan tenaga pengajar serta sokongan pelbagai pihak, sebanyak empat sesi podcast dirakamkan setiap malam, melibatkan lapan panel berwibawa, empat moderator pelajar kursus sendiri dan disaksikan oleh hampir 200 orang mahasiswa UPMKB.
Antara topik yang dibincangkan termasuklah peralihan menuju kedewasaan, pengurusan kewangan dan gaya hidup, fenomena hubungan cinta moden, serta konsep ‘healing’ dalam kehidupan seharian. Perbincangan ini bukan sahaja menyentuh isu yang dekat di hati mahasiswa, tetapi turut memberi pencerahan dan inspirasi kepada mereka dalam menghadapi cabaran sebagai generasi muda yang serba dinamik.
Majlis Peluncuran Podcast Borak Moreh @ UPMKB Tahun 2025 menjadi detik bersejarah dalam usaha memperluaskan platform ini kepada khalayak yang lebih luas melalui YouTube dan Facebook rasmi UPMKB. Majlis ini telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB, yang dalam ucapannya menegaskan, “Dengan sokongan penuh daripada pelbagai pihak seperti Pejabat Pengarah Kampus UPMKB, Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (IDEC), Pusat Pertanian Putra UPMKB, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPMKB serta Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB, projek ini berpotensi menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif digital di kampus”
Beliau turut menambah, “Saya percaya, pengalaman yang diperoleh sepanjang proses merealisasikan program ini akan menjadi bekalan berharga dalam perjalanan akademik dan kerjaya mereka kelak yang sentiasa berorientasikan digitalisasi.”
Saudara Alexis Birai Anak Suduk, selaku Pengarah Program, turut berkongsi aspirasi mahasiswa dengan menyatakan, “Lebih menarik kali ini, kami mahasiswa sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan Kelab Putra Podcast, yang diyakini bakal menjadi wadah untuk meneruskan minat dalam penerbitan kandungan digital serta mencipta lebih banyak program bermanfaat kepada masyarakat.”
Podcast Borak Moreh @ UPMKB 2025 turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Yang Berhormat Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen P217 Bintulu selaku penaja utama, serta beberapa individu dan organisasi lain yang menyokong inisiatif ini. Majlis peluncuran turut dimeriahkan dengan kehadiran Dr. Nurayunie Abd Halim, Pegawai Perubatan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Bintulu Sarawak, yang merupakan salah seorang panel jemputan, serta Encik Abdullah bin Nudin, selaku Penasihat Program Podcast Borak Moreh @ UPMKB Tahun 2025.
Kejayaan Podcast Borak Moreh @ UPMKB Tahun 2025 membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja mampu menjadi penghujah yang baik menerusi pembelajaran kursus berkaitan sepanjang semester, malah turut berperanan sebagai pencipta kandungan berkualiti yang mampu mencorakkan pemikiran masyarakat. Semoga program ini terus berkembang dan menjadi inspirasi kepada generasi mahasiswa akan datang untuk terus berinovasi dalam bidang komunikasi dan penyiaran digital.
Date of Input: 26/03/2025 |
Updated: 26/03/2025 | lanz
MEDIA SHARING