BETONG – PPP@UPMS telah menganjurkan Kursus Pengurusan Penternakan Ayam Kampung Kacukan pada 15 hingga 16 April 2026 di Layar, Betong, Sarawak, susulan permintaan daripada Pusat Khidmat N.36 DUN Layar. Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha pemindahan ilmu dan pengembangan kepada komuniti penternak luar bandar bagi meningkatkan kecekapan serta produktiviti sistem penternakan ayam kampung kacukan.
Kursus yang melibatkan seramai 30 peserta ini dirangka secara berstruktur dengan penekanan terhadap pendekatan berasaskan bukti (evidence-based practices) dalam aspek pengurusan ternakan. Antara komponen utama yang diketengahkan termasuk pengurusan pemakanan, kawalan penyakit dan biosekuriti, pengurusan persekitaran reban, serta strategi pengoptimuman prestasi pengeluaran. Pendekatan pedagogi yang menggabungkan kuliah teori dan latihan amali dilaksanakan bagi memastikan pemahaman konseptual dapat diterjemahkan kepada aplikasi praktikal di peringkat ladang.
Menurut Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna selaku penceramah kursus, reka bentuk kursus ini menitikberatkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dengan penglibatan langsung peserta dalam aktiviti lapangan. Sesi amali turut dikendalikan bersama tenaga fasilitator iaitu Pn. Jega Jantai, En. Khalid Nawi dan En. Yusri Drahman, yang memberi penekanan kepada pemindahan kemahiran teknikal serta amalan penternakan terbaik (best management practices).
Penganjuran kursus ini dilaksanakan di bawah inisiatif AgriEngage@UPMS yang berperanan sebagai platform penghubung antara institusi akademik dan komuniti. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi PUTRA – “Pertanian untuk Rakyat”, serta mendukung moto Universiti Putra Malaysia (UPM) – “Berilmu Berbakti”, yang menekankan tanggungjawab sosial universiti dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Secara keseluruhannya, diharapkan program ini dapat memberi impak positif terhadap peningkatan kapasiti penternak tempatan melalui pengukuhan pengetahuan teknikal dan kemahiran praktikal. Di samping itu, ia turut menyumbang kepada agenda pembangunan pertanian lestari dan pengukuhan sekuriti makanan, khususnya dalam konteks pembangunan industri ternakan ayam kampung kacukan di Sarawak.
Date of Input: 20/04/2026 |
Updated: 20/04/2026 | lanz
MEDIA SHARING