LAWAS, 6 Julai 2026 – Karnival Pendidikan & Kerjaya Project of Dreams Realized (PRO-DR) Roadshow 2026 membuka tirainya di Hotel Seri Malaysia, Lawas hari ini dengan menghimpunkan 220 pelajar dan guru dari lima institusi pendidikan sekitar Lawas bagi mengikuti pelbagai aktiviti pendidikan, kerjaya, TVET dan STEM. Program ini merupakan siri pertama jelajah PRO-DR 2026 yang dianjurkan oleh TEGAS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Paulus Palu Anak Gumbang, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) N.80 Batu Danau. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan pendidikan, kemahiran dan inovasi sebagai pemangkin pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan belia luar bandar.
Bagi sesi pagi, program melibatkan penyertaan daripada SMK Sundar, SMK Merapok dan SMK Lawas, masing-masing menghantar 44 orang peserta. Manakala sesi petang disertai oleh SMK Trusan dan CENTEXS Lawas, dengan setiap institusi turut menghantar 44 orang peserta, menjadikan keseluruhan kehadiran seramai 220 pelajar dan guru.
Majlis pembukaan turut diserikan dengan persembahan tarian daripada pelajar SMK Lawas, yang mempamerkan keunikan budaya tempatan sebelum acara perasmian rasmi berlangsung.
Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) turut mengambil bahagian sebagai salah sebuah institusi pendidikan tinggi yang menyertai pameran pendidikan dan kerjaya. Melalui reruai pameran, UPM Sarawak berkongsi maklumat berkaitan program diploma dan prasiswazah, syarat kemasukan, peluang biasiswa dan bantuan kewangan, serta laluan pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar lepasan SPM dan STPM. Penyertaan ini mencerminkan komitmen UPM Sarawak dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat, khususnya pelajar di kawasan luar bandar Sarawak.
Sepanjang program, peserta berpeluang mengunjungi pameran institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan penyedia bantuan pendidikan, di samping menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti pameran STEM, Future Tech Showcase, pertandingan TVET, perkongsian laluan pendidikan dan kerjaya selepas SPM/STPM, kuiz interaktif serta cabutan bertuah.
Penganjuran PRO-DR Roadshow 2026 menjadi platform penting dalam memperluaskan akses maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian, latihan kemahiran, TVET serta bantuan kewangan kepada pelajar. Penyertaan aktif UPM Sarawak bersama institusi pendidikan tinggi dan agensi berkaitan turut memperkukuh usaha melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menyahut aspirasi pembangunan ekonomi digital Sarawak.
Date of Input: 07/07/2026 |
Updated: 07/07/2026 | lanz
MEDIA SHARING