BINTULU, 25 Julai 2026 – Pejabat Pengurusan Pelajar (PPL), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah berjaya menganjurkan Program Chit Chat Alumni 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Sarawak, pada Sabtu. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu berjaya menghimpunkan seramai 415 orang peserta, terdiri daripada pelajar baharu, barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Perwakilan Kolej (MPK) dan Putra President Union (PPU).
Program ini dianjurkan sebagai platform untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu mengenai kehidupan di universiti, pembangunan sahsiah, kepimpinan serta persediaan menghadapi alam pekerjaan melalui perkongsian pengalaman oleh alumni Universiti Putra Malaysia yang telah berjaya dalam pelbagai bidang.
Forum menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia; Tuan Haji Amin Mat Jaafar, Setiausaha Agung Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia; serta Dr. Ahmad Mustapha Mohamad Pazi, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak. Sesi tersebut dikendalikan oleh Dr. Alvin Lim Teik Zheng, Pensyarah Kanan Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains.
Sepanjang sesi berlangsung, para panel berkongsi pengalaman sepanjang bergelar mahasiswa, cabaran yang dihadapi dalam membina kerjaya serta kepentingan menguasai kemahiran insaniah, komunikasi dan kepimpinan. Perkongsian tersebut turut menekankan bahawa kejayaan seseorang bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik, malah dipengaruhi oleh sikap positif, disiplin, kesediaan untuk terus belajar serta kebolehan membina rangkaian profesional.
Program turut diserikan dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan ahli panel. Pelbagai persoalan berkaitan kehidupan kampus, pembangunan kerjaya, pengalaman bekerja serta persediaan menghadapi cabaran dunia pekerjaan dikemukakan oleh para pelajar, sekali gus mewujudkan suasana perkongsian ilmu yang lebih terbuka dan bermakna.
Berdasarkan borang maklum balas yang diterima daripada 415 peserta, program ini menerima sambutan yang sangat positif. Majoriti peserta menyatakan bahawa sesi perkongsian alumni berjaya memberi inspirasi, meningkatkan motivasi serta membantu mereka memahami dengan lebih jelas cabaran dan peluang yang bakal ditempuhi sepanjang bergelar mahasiswa. Ramai peserta turut berharap agar program seumpama ini diteruskan sebagai platform perkongsian pengalaman antara alumni dan mahasiswa.
Selain itu, beberapa cadangan penambahbaikan turut dikemukakan oleh peserta, antaranya memperbanyakkan sesi interaksi dan soal jawab bersama panel, mengadakan aktiviti yang lebih interaktif serta memperluaskan skop perkongsian kepada lebih banyak topik berkaitan pembangunan diri dan kerjaya. Maklum balas ini akan dijadikan panduan oleh pihak penganjur bagi menambah baik pelaksanaan program pada masa akan datang.
Penganjuran Program Chit Chat Alumni 2026 membuktikan komitmen Pejabat Pengurusan Pelajar dalam memperkukuh hubungan antara alumni dan mahasiswa serta menyokong usaha universiti melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai jati diri, kemahiran insaniah dan kesiapsiagaan yang tinggi untuk menghadapi dunia pekerjaan. Program ini diharapkan dapat diteruskan sebagai inisiatif tahunan dalam membina jaringan alumni yang kukuh serta melahirkan graduan yang berilmu, berdaya saing dan berbakti kepada masyarakat.
Date of Input: 01/08/2026 |
Updated: 01/08/2026 | lanz
MEDIA SHARING