BINTULU, 29 Jun – Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah berjaya menganjurkan Program Gerak Sihat @ FSPH 2026 bersempena Bulan Sinergi Putra 2026 dengan penyertaan barisan pensyarah, staf dan pelajar UPMS di Taman Perhutanan (Borneo BEST), UPMS.
Program yang bertemakan "Gerak Sihat Bersama, Sinergi Selamanya" ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, meningkatkan kecergasan fizikal serta kesejahteraan mental melalui aktiviti jungle trekking sejauh +-1.5 kilometer. Selain menyokong sambutan Bulan Sinergi Putra 2026, program ini turut memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti serta menggalakkan penghayatan terhadap keindahan kawasan hijau dan biodiversiti yang terdapat di dalam kampus UPM Sarawak.
Program telah disempurnakan pelepasannya oleh YBrs. Dr. Ahmad Mustapha bin Mohamad Pazi, Ketua Unit Pendanaan, Pembangunan, Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, yang mewakili Dekan FSPH. Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga universiti, di samping membudayakan amalan hidup sihat dan menghargai kelestarian alam sekitar.
Menurut Pengarah Program merangkap Pemelihara Hutan Fakulti, Encik Ammar Suffian bin Abd. Wahid, pemilihan aktiviti jungle trekking bersempena Bulan Sinergi Putra adalah selaras dengan usaha FSPH untuk menggalakkan gaya hidup sihat sambil mendekatkan warga universiti dengan alam semula jadi. Beliau berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara kawasan hijau kampus sebagai ruang rekreasi, pendidikan dan kesejahteraan warga UPMS
Program diakhiri dengan sesi jungle trekking yang berlangsung dalam suasana selamat, santai dan penuh semangat kebersamaan, sekali gus mencerminkan komitmen FSPH dalam menyokong aspirasi Universiti Putra Malaysia Sarawak ke arah kampus yang sihat, lestari dan inklusif.
Date of Input: 01/07/2026 |
Updated: 01/07/2026 | lanz
MEDIA SHARING