22 NOVEMBER 2025, KUALA TATAU - Program Outreach KPT Prihatin Madani @ Baksis – Program Perkongsian dan Pengembangan Pengetahuan Kesihatan telah berlangsung dengan meriah di Dewan Masjid Al-Amin, Kuala Tatau. Program ini dianjurkan oleh Hospital Sultan Abdul Aziz Shah dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak serta pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Semester 1, Sesi 2025/2026).
Program komuniti ini melibatkan penyertaan empat buah kampung, iaitu Kampung Hilir, Kampung Seberang Jaya, Kampung Nour Iman dan Kampung Haji Ismail. Lebih 300 peserta hadir bagi memanfaatkan pelbagai aktiviti yang disediakan, merangkumi taklimat kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi membasuh tangan dan menggosok gigi dengan betul untuk kanak-kanak, demonstrasi CPR, pertandingan mewarna, sukaneka, cabutan bertuah serta agihan bakul makanan.
Bagi memeriahkan suasana, program dimulakan dengan sesi senamrobik yang disertai penduduk kampung dan para pelajar. Pengarah Program bagi kursus QKK2101 Bakti Siswa, Queenie Victor, meluahkan rasa gembira dan terharu dengan sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hospital Sultan Abdul Aziz Shah atas penganjuran dan kerjasama yang membuka ruang kepada pelajar untuk berbakti serta mendekati masyarakat.
Penasihat Program Bakti Siswa, Puan Nur Asyiqin Binti Zaidi, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Menurut beliau, program sebegini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbang kepada masyarakat, malah membantu mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran mereka dalam aktiviti kemasyarakatan.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada komuniti Kuala Tatau atas keterlibatan yang begitu positif serta berharap agar program yang dijalankan dapat memberi impak bermakna, khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kesihatan dalam kalangan penduduk Kuala Tatau.
Date of Input: 10/12/2025 |
Updated: 10/12/2025 | lanz
MEDIA SHARING