PROGRAM PEMBANGUNAN PROFESIONALISME PELAJAR (3P) DAN MODUL RUKUN NEGARA PERKASA JATI DIRI PELAJAR UPM SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » PROGRAM PEMBANGUNAN PROFESIONALISME PELAJAR (3P) DAN MODUL RUKUN NEGARA PERKASA JATI DIRI PELAJAR UPM SARAWAK

PROGRAM PEMBANGUNAN PROFESIONALISME PELAJAR (3P) DAN MODUL RUKUN NEGARA PERKASA JATI DIRI PELAJAR UPM SARAWAK

BINTULU, 19 OKTOBER 2025 – Program Pembangunan Profesionalisme Pelajar (3P) dan Modul Pemahaman serta Amalan Rukun Negara telah berlangsung dengan jayanya di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada 18 hingga 19 Oktober 2025 (Sabtu dan Ahad). Program selama dua hari ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh sahsiah, etika, serta semangat kenegaraan dalam kalangan mahasiswa UPM.
 
Sebanyak 43 orang pelajar telah menyertai program ini yang menekankan latihan intensif berkaitan nilai profesionalisme, jati diri, dan penghayatan prinsip Rukun Negara. Inisiatif ini bukan sekadar memberi pendedahan teori, tetapi turut melatih peserta sebagai jurulatih pelajar bertauliah yang berupaya menyampaikan dan meneruskan kesinambungan modul ini kepada rakan-rakan pelajar lain di kampus.
 
Lebih istimewa, sesi latihan dikendalikan oleh dua tokoh utama yang merupakan penulis buku Modul Pembangunan Profesionalisme Pelajar dan Modul Pemahaman serta Amalan Rukun Negara, iaitu Prof. Madya Dr. Omrah Hassan @ Hussin dan Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir. Kedua-dua tokoh ini turut hadir bagi memantau perjalanan program serta berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka secara langsung bersama para peserta.
 
Turut memberikan sokongan dan pemantauan sepanjang program ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid Arshad, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM Serdang dan En Dahlan Ismail Abdul Bakar, Timbalan Pengarah (Pentadbiran & Pembangunan), Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM Serdang
 
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid Arshad, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM Serdang:
“Program Pembangunan Profesionalisme Pelajar (3P) dan Modul Pemahaman serta Amalan Rukun Negara ini merupakan platform penting dalam membentuk pelajar UPM yang seimbang dari segi intelektual, emosi dan spiritual. Melalui program ini, pelajar bukan sahaja dididik untuk menjadi pemimpin yang berilmu dan beretika, tetapi juga warganegara yang memahami tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.”
 
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan program seumpama ini perlu diteruskan di setiap kampus UPM sebagai usaha memperkukuh identiti pelajar dan membina generasi muda yang berdaya tahan serta memiliki nilai patriotisme yang tinggi.
 
“UPM komited melahirkan graduan yang bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi juga mempunyai karakter kepimpinan dan semangat kenegaraan yang kukuh. Inilah asas kepada pembentukan modal insan unggul yang akan memimpin masa depan negara,” tambah beliau.
 
Program ini turut disokong oleh barisan fasilitator berpengalaman daripada pelbagai latar belakang akademik dan profesional, antaranya:
1. En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan
2. En. Noor Hakim Ahmad
3. Tn. Hj Fakhzan Hj Buang
4. Tn.Haji Sudirman Asmadi
5. En. Mohamad Saufi Mohamad Ramli
6. Dr. Faizul Nizar Anuar
7. Pn. Nathuhain Hj Ibrahim
8. ChM. Dr. Azrul Nurfaiz Mohd Faizal
9. En. Zulkernain Zamawi
9. En. Roslan Ismail
10. Dr. Sharon Ong Yong Yee
 
Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan UPM dalam memperkasa pembangunan sahsiah, kepimpinan dan profesionalisme pelajar melalui pendekatan holistik. Ia sejajar dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan berilmu, berintegriti dan berjiwa patriotik, sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah pembentukan modal insan unggul yang bertanggungjawab terhadap diri, masyarakat dan negara.
 
“Program seperti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran insaniah pelajar, tetapi juga menyemai semangat cinta akan tanah air dan penghayatan mendalam terhadap Rukun Negara,” ujar salah seorang fasilitator program. UPM Sarawak terus komited untuk menjadi peneraju dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing, beretika, dan berpaksikan nilai-nilai murni kebangsaan, selaras dengan Moto UPM “Berilmu Berbakti” serta melahirkan Duta UPM yang bertebar di seluruh dunia.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 24/10/2025 | Updated: 05/11/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (02:11:43pm-02:16:43pm, 15 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]