Bintulu, 8 Jun 2024 – Program Putra Bakti: Kejohanan Ping Pong Terbuka Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) anjuran pelajar kursus berkredit QKS2114 Ping Pong UPMKB telah diadakan pada 8 dan 9 Jun 2024 dengan kerjasama Persatuan Ping Pong Bahagian Bintulu.
Program ini dipimpin oleh Wan Norazizi Putra, pelajar semester 2 Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan dan dibimbing Ts. Dr Muhammad Huzaifah bin Mohd Roslim selaku fasilitator kursus QKS2114.
Program ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara pelajar universiti dan komuniti setempat melalui sukan serta melatih pelajar UPMKB untuk menguruskan sesuatu program. Selain itu, acara ini juga berperanan sebagai platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan peserta.
Kejohanan ini berjaya mengumpulkan lebih daripada 40 peserta daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat, termasuk peserta dari luar Bintulu seperti Sibu dan Miri. Acara yang penuh semangat ini turut disertai oleh atlet-atlet SUKMA Sarawak, menjadikan persaingan lebih kompetitif dan menghiburkan.
Di samping itu, program ini dibahagikan kepada dua sesi dimana sesi satu (8 Jun 2024) ialah perlawanan kumpulan manakala sesi kedua (9 Jun 2024) ialah peringkat akhir kejohanan. Program ini bermula seawal jam 8 pagi memperlihatkan pertandingan campuran terbuka di mana lelaki dan wanita dari pelbagai peringkat umur bersaing secara langsung.
Menariknya, pertandingan kali ini turut mendapat perhatian daripada seorang jurulatih profesional dari China, yang hadir untuk memberikan tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman berharga dengan para peserta.
Salah satu sorotan utama pertandingan ini ialah kehadiran peserta dari pelbagai peringkat usia, termasuk seorang pemain veteran berusia 76 tahun dan seorang pemain muda berusia 7 tahun. Kedua-dua mereka membuktikan bahawa sukan ping pong mampu merentasi batasan usia dan memupuk semangat sukan dalam kalangan semua lapisan masyarakat.
Pada 9 Jun pula iaitu sesi kedua, acara kemuncak pertandingan menyaksikan perlawanan akhir antara peserta cilik yang berumur belasan tahun menentang pencabar lelaki dewasa, dengan kemenangan berpihak kepada peserta cilik yang tepatnya kecil-kecil cili padi, meskipun kecil tetapi lincah dan begitu mahir bermain ping pong.
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan oleh Pegawai Psikologi Kanan UPMKB, Puan Hairunisah Binti Abdul Rahman. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan aktiviti sukan sebagai medium untuk memupuk semangat perpaduan dan kesefahaman antara pelbagai golongan.
“Kami amat berbangga dapat menganjurkan acara ini yang bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan masyarakat, tetapi juga memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, disiplin, dan semangat kesukanan,” kata Puan Hairunisah Bin Abdul Rahman.
Pengarah Program Putra Bakti, Wan Norazizi Putra turut tidak ketinggalan dalam memberikan sepatah dua kata dalam acara penutupan tersebut. “Saya amat gembira dan terkejut melihat penyertaan program ini amat memberangsangkan sehingga melibatkan jurulatih ping pong antarabangsa, pemain SUKMA Sarawak serta dari golongan veteran. Saya yakin dan percaya bahawa program sinergi ini adalah salah satu usaha untuk mengekalkan legasi atlet ping pong di Sarawak. Buktinya, johan program ini adalah peserta cilik yang hanya berusia 13 tahun!” ujarnya.
Johan kejohanan jatuh kepada Gabriel Yong En Hong iaitu peserta cilik berusia 13 tahun yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 250.00, bagi naib johan pula dimenangi oleh James Sim Chia Tai yang menerima wang tunai sebanyak RM 200.00 dan tempat ketiga ialah Raphael Yong En Xuan mendapat RM 150.00.
Bagi peserta yang mendapat tempat keempat hingga kelapan pula akan menerima hadiah saguhati berbentuk hamper. Kesemua hadiah disampaikan oleh Puan Hairunisah Binti Abdul Rahman, Wan Norazizi Putra, Ts. Dr Muhammad Huzaifah bin Mohd Roslim dan Encik Felix Ngu, Presiden Persatuan Ping Pong Bahagian Bintulu. Pertandingan berakhir pada jam 1 petang, 9 Jun 2024 dengan sesi bergambar, menandakan penutupan acara yang penuh kejayaan dan kegembiraan bagi semua yang terlibat.
Date of Input: 11/06/2024 |
Updated: 11/06/2024 | lanz
MEDIA SHARING