12 Februari 2026 – Seramai 45 orang pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan (DKHP) semester keempat telah menganjurkan Program SULAM (Service-Learning Malaysia – University for Society) bertajuk One Health Beyond the Coop: Foodborne Disease by Poultry Products bagi kursus AHP2502 Produksi Poltri dengan bimbingan pengajar kursus, Prof. Madya Dr. Juriah binti Kamaludeen. Program ini telah berlangsung di Institut Tahfiz Bintulu (ITB) dan melibatkan seramai 53 pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dari ITB.
Program ini bertujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan serta meningkatkan kesedaran pelajar tahfiz mengenai aspek kesihatan awam berkaitan penyakit bawaan makanan daripada telur dan daging ayam yang berpunca daripada pencemaran bakteria seperti Salmonella, Campylobacter dan Escherichia coli. Matlamat program SULAM ini turut mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan pelajar sekolah di samping meningkatkan kemahiran insaniah pelajar melalui pelaksanaan aktiviti interaktif berkaitan keselamatan makanan dan langkah pencegahan penyakit bawaan makanan.
Program dimulakan dengan sesi ceramah khas yang disampaikan oleh Dr. Siti Nurhani binti Arib, Pegawai Veterinar di Klinik Veterinar UPMS. Beliau mendedahkan para pelajar kepada maklumat berkaitan patogen yang boleh mencemari produk ayam dan telur serta menyebabkan keracunan makanan sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. Selain itu, program menjadi lebih interaktif melalui kuiz “Disease: Myth or Facts” dan “Station Games” yang memberi pengalaman hands-on kepada pelajar dalam aspek pemilihan, pengendalian, penyimpanan dan kaedah memasak produk poltri dengan selamat.
Penerangan lanjut turut diberikan oleh Prof. Madya Dr. Juriah binti Kamaludeen melalui sesi soal jawab bersama para pelajar. Beliau juga menyampaikan kesedaran mengenai penyakit rabies dan menekankan hubungan rapat antara kesihatan persekitaran, haiwan dan manusia dalam usaha mencegah penularan penyakit zoonotik.
Date of Input: 03/03/2026 |
Updated: 03/03/2026 | lanz
MEDIA SHARING