PUSAT PERTANIAN PUTRA, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK ANJUR KURSUS PEMINDAHAN ILMU: KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM (KUMPULAN 2) | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » PUSAT PERTANIAN PUTRA, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK ANJUR KURSUS PEMINDAHAN ILMU: KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM (KUMPULAN 2)

PUSAT PERTANIAN PUTRA, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK ANJUR KURSUS PEMINDAHAN ILMU: KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM (KUMPULAN 2)

Pada 18 Mei 2024 (Sabtu), Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak telah menganjurkan Kursus Pengurusan Penternakan Ayam (Kumpulan 2) bertempat di Pejabat Pusat Pertanian Putra, UPMKB dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.
 
Kursus ini dijalankan buat kali kedua bagi tahun 2024 atas permintaan yang menggalakan dan bagi tidak menghampakan permintaan dari pihak yang tidak berkelapangan untuk menyertai kursus ini (Kumpulan 1) pada 27 April 2024 yang lepas.
Kursus kali ini disertai oleh 24 orang peserta dari pelbagai bahagian di Sarawak iaitu Bintulu, Kuching, Sibu, Belaga, Sri Aman, Lawas, Limbang, Mukah, Dalat dan Bario. Kesemua peserta, walaupun mempunyai latar belakang yang berbeza, datang dengan tujuan dan semangat yang sama iaitu ingin mencari ilmu dalam bidang penternakan ayam.
 
Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna, Pegawai Pertanian Kanan, PPP@UPMKB selaku Penyelaras dan Penceramah kursus menerangkan objektif penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta yang ingin menternak ayam dari segi keperluan umum, penyediaan reban, pengurusan dan penyelenggaraan harian sehingga penuaian.
 
Turut dikongsikan juga ialah ilmu pengetahuan tentang pengurusan kesihatan ayam, penyediaan dan penghasilan makanan untuk ayam serta penyelesaian kepada masalah yang sering dihadapi oleh penternak ayam. Peserta turut diberi tunjuk ajar melalui sesi amali pemilihan telur untuk penetasan, pemotongan paruh ayam serta cara-cara pemberian vaksin kepada ternakan ayam. Sesi amali ini telah dibantu oleh staf Pusat Pertanian Putra UPMKB iaitu Puan Jega Jantai dan En. Yusri Drahman.
 
Timbalan Pengarah PPP, UPMKB, Prof. Madya Dr. Amy Halimah binti Rajaee turut menambah bahawa kursus tersebut dijalankan selaras dengan keperluan peningkatan ilmu untuk memperkasakan bidang pertanian sebagai salah satu inisiatif dalam menghadapi isu krisis sekuriti makanan negara.
 
Inisiatif ini adalah selari dengan Jenama PUTRA – “Pertanian untuk Rakyat” dan moto UPM “Berilmu Berbakti” serta menyahut seruan Naib Canselor UPM untuk merakyatkan pertanian seperti petikan ucapan beliau: “UPM tidak mampu melakukannya secara bersendiri, dan perlu merakyatkan pertanian supaya pertanian menjadi teras kehidupan rakyat Malaysia dalam konteks masyarakat pasca normal yang kompleks, dan juga memberi peluang baharu yang mencabar dan berpotensi.
 
PUTRA juga sinonim dengan moto UPM, “Berilmu Berbakti”, kerana merakyatkan pertanian adalah kaedah terbaik untuk semua duta pertanian UPM menabur bakti kepada masyarakat setelah menimba ilmu dari dan melalui UPM.”
 
Menurut beliau lagi, kursus ini merupakan satu daripada rangkaian kursus yang dirancang pada tahun 2024 dalam merealisasikan program University for Society (U4S) atau IPT for Society@Keluarga Malaysia (UNITY) melalui program pemindahan teknologi pertanian yang berpaksikan kemajuan dan kesejahteraan komuniti.
 
Pusat Pertanian Putra UPMKB ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Cik Josephine Jawai Makos, Puan Norbaya Che Rus, Cik Deepshika Nair A/P Sivananthan Nair dan Cik Nur Ismahani Irdina Binti Gani (urusetia), En. Benedict Miden (jurufoto) dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
 
Pusat Pertanian Putra UPMKB turut mendapat galakan dan sokongan daripada Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini agar kursus seumpama ini dapat dikembangkan kepada komuniti setempat khasnya dan masyarakat umum amnya sejajar dengan cogan kata keramat UPM ‘Berilmu Berbakti’ dengan bayaran yang minimum supaya bidang kepakaran yang dimiliki oleh pegawai akademik dan pegawai bukan akademik UPMKB dapat diserlahkan dan dimanfaatkan sewajarnya.
 

Date of Input: 24/05/2024 | Updated: 24/05/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (11:17:13am-11:22:13am, 08 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]