PUTRA ADVENTOUR JAYAKAN PROGRAM MINI SHOWCASE IMPACT DIGITAL TOURISM COMMUNITY (IDCT) 2023 DI PARKCITY MALL BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » PUTRA ADVENTOUR JAYAKAN PROGRAM MINI SHOWCASE IMPACT DIGITAL TOURISM COMMUNITY (IDCT) 2023 DI PARKCITY MALL BINTULU

PUTRA ADVENTOUR JAYAKAN PROGRAM MINI SHOWCASE IMPACT DIGITAL TOURISM COMMUNITY (IDCT) 2023 DI PARKCITY MALL BINTULU

Bintulu, 22 Julai 2024 – Program Mini Showcase Impact Digital Tourism Community (IDCT) 2023 telah dijayakan oleh Kumpulan Putra Adventour yang mewakili Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB).
 
Program IDCT merupakan anjuran Bahagian Perancangan Strategik (BPS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai perkara yang perlu diambil perhatian dalam asas pembangunan pelancongan komuniti secara digital.
 
Menurut jurucakap program, program ini juga diadakan bertujuan untuk melahirkan usahawan muda yang mengambil berat kebajikan masyarakat yang memerlukan serta menyemai rasa kekitaan dan sokongan dalam diri pelajar kepada budaya dan persekitaran melalui kolaborasi perusahaan yang memerlukan.
 
Kumpulan Putra Adventour, yang terdiri daripada lima orang mahasiswa dan mahasiswi UPMKB bersama seorang mentor, telah memilih komuniti Lebu’ Kulit Sungai Asap, Belaga sebagai destinasi pelancongan yang dipromosikan melalui platform digital. Pemilihan ini bertujuan untuk mengangkat komuniti tersebut sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan unik.
 
Acara yang berlangsung selama dua hari, bermula dari 20 hingga 21 Julai 2024, bertempat di Parkcity Mall Bintulu ini telah menerima sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk sekitar Bintulu yang berkunjung.
 
Banyak pengunjung yang tertarik dengan inovasi dan kreativiti yang ditampilkan oleh Kumpulan Putra Adventour dalam mempromosikan Lebu’ Kulit sebagai destinasi pelancongan melalui teknologi digital.
 
Selain itu, pelbagai aktiviti termasuklah promosi produk kraftangan, alat muzik dan ‘photobooth’ untuk pengunjung yang ingin mengenakan pakaian tradisional Orang Ulu turut disediakan.
 
Mini showcase ini turut mendapat sokongan daripada pihak Parkcity Mall Bintulu dan dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), UPM.
Wakil dari UNIMAS turut hadir sebagai juri dalam acara tersebut dan memberikan penilaian profesional serta dorongan kepada para peserta untuk terus mengembangkan potensi mereka dalam sektor pelancongan digital.
 
Mereka turut menghargai usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh para mahasiswa dan berharap program seperti ini dapat terus dikembangkan di masa depan untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia melalui digitalisasi terutamanya bagi Komuniti Lebu’ Kulit, Sungai Asap, Belaga.
 
Dengan berakhirnya Mini Showcase ini, diharapkan komuniti Lebu’ Kulit Sungai Asap, Belaga akan mendapat lebih banyak perhatian dan kunjungan daripada pelancong, yang pada akhirnya dapat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat.
 
 

 

Date of Input: 24/07/2024 | Updated: 24/07/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (01:58:35pm-02:03:35pm, 15 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]