“PUTRA BAKTI: EKSPRESI SENI PUTRA” CUNGKIL BAKAT KREATIF PELAJAR DAN KOMUNITI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » “PUTRA BAKTI: EKSPRESI SENI PUTRA” CUNGKIL BAKAT KREATIF PELAJAR DAN KOMUNITI

“PUTRA BAKTI: EKSPRESI SENI PUTRA” CUNGKIL BAKAT KREATIF PELAJAR DAN KOMUNITI

BINTULU - Program Putra Bakti: Ekspresi Seni Putra berjaya dianjurkan di Dewan Kuliah Pusat 2B, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) oleh pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKT2101 Seni Penghujahan (Kumpulan 1) bagi sesi akademik 2025/2026. Dianggarkan 30 peserta daripada sekolah tempatan, institusi pengajian tinggi dan komuniti sekitar telah menyertai program ini baru – baru ini.
 
Program ini bertujuan menyediakan platform kepada pelajar dan masyarakat setempat untuk mempamerkan bakat dalam bidang penceritaan dan monolog. Melalui aktiviti ini, para peserta berpeluang menonjolkan kreativiti serta keyakinan diri sambil mengasah kemahiran komunikasi dan pemikiran kreatif.
 
Antara acara utama yang dianjurkan ialah Pertandingan Penceritaan “Kisah & Tauladan” dan Pertandingan Monolog yang berjaya menarik penyertaan daripada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi. Kedua-dua pertandingan ini memberi peluang kepada peserta untuk menyampaikan idea, nilai dan pengajaran melalui persembahan yang kreatif dan bermakna.
 
Majlis penutupan disempurnakan oleh Muhammad Abdul Rahim Bin Habib, Pegawai Psikologi UPMS, yang turut menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah kepada para pemenang serta peserta. Program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk persembahan sajak, ucapan dan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan. Pemenang Pertandingan Penceritaan “Kisah & Tauladan” menerima RM300.00 dan hamper, manakala juara Pertandingan Monolog dianugerahkan hadiah wang tunai RM1000.00 sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, keyakinan dan persembahan peserta sepanjang program.
 
Menurut pihak penganjur, program ini bertujuan melahirkan pelajar yang lebih yakin, berdaya saing serta mampu menyampaikan idea secara berkesan melalui seni bahasa dan persembahan. Program ini juga membantu memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerjasama berpasukan dan pemikiran kritis dalam kalangan peserta.
 
Akhir sekali, pihak penganjur berharap agar program seperti Putra Bakti: Ekspresi Seni Putra dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memupuk minat serta meningkatkan penghargaan terhadap seni persembahan. Program sebegini juga dilihat mampu menyediakan peluang yang bermakna kepada pelajar untuk mengembangkan bakat dan potensi diri di luar bilik darjah.
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 08/04/2026 | Updated: 08/04/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (04:09:39pm-04:14:39pm, 14 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]